AFF umum tarikh baharu Piala Suzuki 2020

AFF umum tarikh baharu Piala Suzuki 2020

KUALA LUMPUR,. Piala AFF Suzuki 2020 yang merupakan antara kejohanan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kini dijadualkan semula dari 11 April hingga 8 Mei tahun hadapan, kata Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) hari ini.

Badan bola sepak serantau itu berkata keputusan terkini itu diambil dengan matlamat untuk menganjurkan kejohanan itu dalam format sepenuhnya – bermain di tempat sendiri dan di tempat lawan di seluruh negara Asia Tenggara yang layak.

AFF dalam satu kenyataan hari ini berkata selepas berbincang dengan persekutuan bola sepak rantau ini, dan pihak berkuasa berkaitan yang lain, Jawatankuasa Pasukan Petugas Piala Suzuki AFF membuat keputusan bahawa tarikh baharu itu mampu disesuaikan dengan jadual perlawanan tempatan.

Bagaimanapun, AFF akan terus memantau keadaan dengan rapi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua pemain, jurulatih, rakan kongsi, peminat dan orang ramai.

Presiden AFF Mej Jen Khiev Sameth berharap pengumuman tarikh baharu itu akan memberikan penjelasan untuk rakan komersialnya, termasuk penaja dan penyiar media untuk membuat perancangan dalam keadaan yang tidak menentu ini.

“Kami semua menyedari perjuangan memerangi pandemik global masih belum berakhir, kami optimis dan berhati-hati supaya kejohanan itu berlangsung dalam format lengkap kerana kami berhasrat menyajikan yang terbaik di ASEAN dalam kejohanan itu tahun depan.

“AFF dan ahli-ahli persatuan kami mengucapkan terima kasih kepada semua peminat kami, pemain, jurulatih, pegawai, media dan rakan kongsi lain di atas komitmen dan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi walaupun berhadapan cabaran dan kami menanti Piala SUZUKI AFF menyatukan seluruh Asia Tenggara apabila kita boleh bersama lagi, katanya.

Piala AFF, kejohanan bola sepak yang terbesar dan paling berprestij di Asia Tenggara, pada mulanya dijadualkan pada November dan Disember tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan kerana wabak COVID-19.

Thailand adalah pasukan yang cemerlang di dalam kejohanan itu, menjuarainya sebanyak lima kali pada 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016 sementara Malaysia muncul juara pada 2010 di bawah bimbingan Ketua Jurulatih pada masa itu Datuk K Rajagobal.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )