BEKALAN AIR DI SELANGOR KEKAL STABIL, MARGIN RIZAB 17.4 PERATUS HADAPI SUPER EL NINO

BEKALAN AIR DI SELANGOR KEKAL STABIL, MARGIN RIZAB 17.4 PERATUS HADAPI SUPER EL NINO

SHAH ALAM,. Bekalan air di Selangor kekal stabil dengan margin rizab sebanyak 17.4 peratus, sekali gus menunjukkan kesiapsiagaan negeri dalam menghadapi risiko cuaca panas dan kering susulan fenomena Super El Nino serta jerebu rentas sempadan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata berdasarkan unjuran 2026, keupayaan pengeluaran air terawat di negeri itu dianggarkan 6,500 juta liter sehari (JLH).

Beliau berkata keadaan itu memberikan lebihan kapasiti 1,130 JLH, dengan kadar penggunaan air hingga September lalu kekal konsisten tanpa perubahan ketara berbanding unjuran awal tahun.

“Rizab margin bekalan air juga kekal melebihi 15 peratus. Walaupun terdapat sedikit pengurangan di empangan, tiada empangan yang mencatatkan penurunan bawah 80 peratus dan situasi kini semakin pulih,” katanya di Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Izham menjawab soalan lisan Pang Sock Tao (PH-Kuala Kubu Baharu) yang ingin tahu unjuran bekalan dan permintaan air negeri pada awal 2026 berbanding data terkini, mengambil kira kesan jerebu rentas sempadan dan fenomena super El Nino.

Izham berkata berdasarkan rekod pemantauan di Integrated Water Resource Information Management System (IWRIMS), semua empangan di Selangor berada dalam keadaan baik dengan kapasiti takungan melebihi 82 peratus setakat 4 Nov.

“Keupayaan dan jangka hayat takungan empangan adalah sehingga enam bulan ke paras kritikal tertakluk kepada jumlah pelepasan air berdasarkan keperluan loji rawatan air (LRA).

“Semua empangan juga masih mampu mencapai kapasiti simpanan air yang selamat hingga April 2027 dengan mengambil kira jangkaan kekurangan hujan yang maksimum semasa fenomena El Nino,” katanya.

Bagi menghadapi risiko penyusutan sumber air mentah, Izham berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil beberapa langkah penyesuaian antaranya pengaktifan Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) di Bestari Jaya apabila peratusan takungan air empangan turun hingga 80 peratus.

Selain itu, beliau berkata LUAS turut mencadangkan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan empangan strategik bagi meningkatkan intensiti taburan hujan dan merangsang peningkatan semula aliran masuk ke empangan.

“Permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia dirancang untuk dikemukakan apabila kapasiti takungan empangan turun hingga 50 peratus,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This