
Kerajaan siap siaga hadapi El Nino, pastikan bekalan protein negara terjamin
KLANG,. Kerajaan sedang memperkukuh kesiapsiagaan sektor keterjaminan makanan termasuk pengurusan empangan bagi menghadapi kemungkinan cuaca panas dan fenomena El Nino bagi memastikan bekalan asas negara kekal terjamin.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata persediaan itu termasuk penyimpanan stok ikan sejuk beku secara besar-besaran oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan syarikat swasta bagi memastikan bekalan protein mencukupi.
“Mungkin nanti kita akan buat macam di Kedah, di Empangan Pedu, (kerana) kemungkinan ikan akan lari sedikit ke tengah apabila cuaca panas, oleh itu, kita sudah bersedia dengan menyediakan bekalan ikan sejuk beku terutama ikan rakyat secara besar-besaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Untuk Usahawan Mikro India AGRO i-Sinar di Dewan Klang Jaya di sini hari ini.
Mengenai penanaman padi, Mohamad berkata penyelarasan jadual penanaman akan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), masyarakat dan Agrobank sekiranya berlaku bencana akibat cuaca ekstrem.
Beliau berkata kementerian bersama agensi berkaitan turut melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan langkah persediaan dan tindakan susulan dapat diselaraskan dengan teratur apabila diperlukan.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata Malaysia tidak seharusnya mengamalkan budaya undang-undang dua darjat kerana perkara itu boleh menjejaskan masa depan negara serta generasi akan datang.
Beliau berkata kedaulatan undang-undang merupakan antara faktor utama Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa dan prinsip itu perlu dipertahankan bagi memastikan setiap rakyat mendapat layanan yang adil tanpa mengira kedudukan.
“Saya bukan tuju kepada individu tertentu tetapi saya menekankan pentingnya undang-undang dua darjat ini jangan bermula. Sebab ia bahaya kepada masa depan negara. Malaysia dihormati di dunia di antaranya kerana kedaulatan undang-undang, ini yang kita kena pertahankan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran itu.
Justeru, Mohamad menyeru seluruh rakyat di negara ini bersatu padu memperjuangkan prinsip kedaulatan undang-undang agar keadilan dapat ditegakkan tanpa mengira kedudukan kerana setiap warganegara mempunyai hak serta kedudukan sama rata di sisi undang-undang dan Perlembagaan negara.
Sementara itu, mengenai hasrat menyerahkan gaji bulanannya sebagai menteri berjumlah RM11,900 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beliau berkata beberapa pihak berkaitan sudah tampil dan perbincangan sedang giat dijalankan bagi memperincikan mekanisme penyaluran sumbangan berkenaan.
Beliau berkata langkah rundingan itu penting bagi memastikan sumbangan berkenaan dapat disalurkan secara telus kepada pihak yang benar-benar layak.
Pada 11 Nov lepas, Mohamad yang juga Presiden Amanah mengumumkan keputusan menyerahkan gaji bulanannya berkuat kuasa serta-merta bagi membantu NGO memperjuangkan layanan saksama susulan isu tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
— BERNAMA
