BNM DAN BANK PUSAT FILIPINA PERKUKUH HUBUNGAN DALAM PEMBANGUNAN SEKTOR KEWANGAN

BNM DAN BANK PUSAT FILIPINA PERKUKUH HUBUNGAN DALAM PEMBANGUNAN SEKTOR KEWANGAN

KUALA LUMPUR,. Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang mewujudkan rangka kerja kerjasama dalam pembangunan perbankan pusat dan sektor kewangan.

BNM melalui satu kenyataan berkata MoU itu menandakan komitmen rasmi kedua-dua bank pusat untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk kewangan Islam, hubungan pembayaran rentas sempadan, urus niaga mata wang tempatan dan inovasi kewangan serta pendigitalan.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata MoU itu dimeterai pada waktu yang sesuai memandangkan landskap kewangan dan ekonomi yang semakin kompleks.

“Berasaskan hubungan kerjasama erat yang sedia terjalin, MoU ini akan membolehkan BNM dan BSP memperkukuh keutamaan bersama, saling belajar antara satu sama lain, meneroka peluang baharu dan menangani cabaran yang sedang muncul secara bersama ,” katanya.

Sementara itu, Gabenor BSP Eli M. Remolona Jr berkata MoU itu merupakan satu lagi langkah besar ke hadapan dalam perkongsian yang telah lama terjalin antara BSP dan BNM.

“Kami telah membina asas yang kukuh, dan kini ujian sebenar sedang mengubah kami menjadi institusi yang lebih mantap, infrastruktur kewangan yang lebih baik dan program praktikal yang benar-benar meningkatkan kehidupan untuk warga kami,” katanya.

Selain daripada bekerjasama untuk menyampaikan manfaat ketara bagi kedua-dua ekonomi, bank-bank pusat itu berharap untuk menterjemah rangka kerja berkenaan kepada kerjasama yang bermakna ke arah integrasi kewangan serantau yang lebih mendalam, kata BNM.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This