Beberapa lagi pemimpin parti politik menghadap Agong semalam

Beberapa lagi pemimpin parti politik menghadap Agong semalam

KUALA LUMPUR,. Beberapa lagi pemimpin parti politik negara menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara,semalam.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, merupakan pemimpin pertama yang tiba untuk tujuan itu pada jam 10.20 pagi, sebelum dilihat keluar meninggalkan Istana Negara pada jam 11.35 pagi.

Beliau disusuli Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan yang tiba pada 11.55 pagi dan dilihat keluar pada jam 12.50 tengah hari.

Pada sebelah petang pula giliran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), yang tiba pada jam 2 petang, sebelum beredar sejam kemudian.

Ia diikuti Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang tiba pada jam 3.10 petang sebelum keluar jam 4.20 petang.

Tiada pemimpin yang turun daripada kenderaan masing-masing hari ini untuk bercakap dengan petugas media berbanding semalam dan tindakan itu dilihat bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal dapat dipatuhi ketika negara berada dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Pemimpin parti politik termasuk pembangkang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong secara berperingkat bermula semalam, dan bagi pemimpin parti-parti politik di Sarawak, majlis menghadap diadakan secara dalam talian yang dijadualkan pada 14 Jun.

Setakat ini, lapan pemimpin daripada parti politik berasingan selesai menghadap Al-Sultan Abdullah.

Majlis menghadap bermula dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam. Secara kebiasaannya, beliau selaku ketua kerajaan akan menghadap Seri Paduka sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada setiap Rabu, bagi menyembah maklum perkembangan pentadbiran negara.

Selepas Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, adalah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR, diikuti Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan disusuli Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu mengakhiri sesi semalam.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )