Memanah Piala Asia: Malaysia raih gangsa acara recurve berpasukan lelaki

Memanah Piala Asia: Malaysia raih gangsa acara recurve berpasukan lelaki

KUALA LUMPUR,. Pasukan memanah negara menamatkan penantian hampir dua tahun untuk meraih pingat pada kejohanan antarabangsa apabila memperoleh gangsa dalam acara recurve berpasukan lelaki di Piala Asia 2021 di Gwangju, Korea Selatan, semalam.

Gandingan trio negara diketuai Olimpian negara, Khairul Anuar Mohamad, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli dan Muhammad Akmal Nor Hasrin tewas kepada pasukan Jepun yang diwakili Takaharu Furukawa, Yuki Kawata dan Hiroki Muto, 5-4, dalam peringkat separuh akhir.

Malaysia meraih pingat gangsa selepas hanya tiga pasukan bertanding pada acara berkenaan susulan penarikan diri pasukan Kazakhstan daripada bertanding dalam kejohanan berkenaan.

Jepun dijadual berdepan pasukan tuan rumah, Korea Selatan untuk penentuan emas pada aksi final hari ini.

Kali terakhir trio berkenaan menaiki podium adalah pada Piala Asia 2019 di Clark, Filipina selepas membawa pulang gangsa dalam acara sama.

Ketiga-tiga mereka selepas ini dijangka beraksi pada sebuah kejohanan di Paris, Perancis pada 18-20 Jun depan.

Tumpuan pastinya terarah kepada Muhamad Zarif Syahiir dan Muhammad Akmal yang sedang mengintai peluang untuk mara ke Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun, bulan depan dalam kejohanan yang turut menjadi kempen kelayakan terakhir ke temasya sukan terbesar dunia berkenaan.

Khairul Anuar terlebih dahulu mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda pada Jun 2019.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan menjadi penampilan ketiga buat Khairul Anuar, 29, selepas edisi London 2012 dan Rio 2016, yang turut menyaksikan Muhammad Akmal membuat penampilan pertamanya pada temasya di Brazil itu.
Sukan Olimpik Tokyo dijadual berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)