
Balu pada pemandu kereta sewa yang maut ditimpa pokok tumbang terima pencen bulanan dari Perkeso
KUALA LUMPUR,. Balu kepada pemandu kereta sewa yang maut dalam insiden pokok tumbang berhampiran Jalan Tun Razak Sabtu lalu akan menerima pencen bulanan sebanyak RM837 sepanjang hayat menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
PERKESO berkata, semakan mendapati Allahyarham Mohd Amir Shazwan Saion telah memperbaharui caruman LINDUNG Kendiri pada Februari lalu, sekali gus memastikan isterinya, Zam Zureena Mohd Rani, terus menerima perlindungan kewangan selepas pemergiannya.
Menurut PERKESO, Allahyarham baru sahaja selesai menghantar penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dalam perjalanan memulangkan kenderaan sewa syarikat di Datuk Keramat sebelum pulang ke rumah di Cheras untuk meluangkan hujung minggu bersama isterinya apabila tragedi itu berlaku.
PERKESO berkata, pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata, justeru Zam Zureena merupakan penerima tunggal Faedah Orang Tanggungan (FOT) berupa pencen bulanan sepanjang hayat.
Selain itu, beliau turut menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) atau khairat kematian berjumlah RM3,000 secara sekali bayar bagi membantu urusan pengebumian Allahyarham di kampung halamannya di Batu Pahat, Johor.
Dalam perkembangan berkaitan, PERKESO berkata insiden yang berlaku susulan hujan lebat di ibu negara itu menjadi antara contoh terbaik yang memperlihatkan kepentingan skim LINDUNG 24 Jam, yang menawarkan perlindungan kepada pencarum walaupun di luar waktu bekerja.
Skim tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan dan keselamatan pekerja sentiasa terpelihara, bukan sahaja di tempat kerja atau ketika berulang-alik, malah sepanjang masa demi kesejahteraan rakyat dan keluarga mereka.
Sejak dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu, PERKESO merekodkan purata 32 permohonan faedah setiap hari melibatkan kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja, termasuk pada hujung minggu dan cuti umum.
PERKESO berkata, LINDUNG 24 Jam membolehkan pencarum yang tidak dapat kembali bekerja akibat kecederaan terus menerima bayaran gantian pendapatan sepanjang tempoh cuti sakit, sekali gus membantu menampung perbelanjaan harian isi rumah dan kos pendidikan anak tanpa perlu menggunakan simpanan peribadi.
Menurutnya, skim itu menawarkan manfaat perlindungan yang amat besar kepada pencarum dan keluarga mereka walaupun kadar carumannya rendah.
