Anwar dakwa masih kuasai sokongan majoriti pengundi Melayu

PETALING JAYA,. Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa beliau masih menguasai sokongan majoriti pengundi Melayu, bukan seperti pandangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir mungkin sudah menyingkir beliau tetapi bukannya dalam konteks pengundi Melayu secara umum, katanya semasa menjawab satu soalan ketika satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Anwar berkata majoriti besar Melayu menyokong beliau di dalam kawasan parlimen yang beliau bertanding.

“Di PD (Port Dickson), majoriti iaitu lebih 60 peratus Melayu menyokong saya. Permatang Pauh asasnya Melayu. Saya rasa tidak perlu saya bercakap banyak lagi,” kata beliau.

Anwar pada masa ini merupakan Ahli Parlimen Port Dickson dan beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Dalam satu wawancara khas dengan sebuah akhbar berbahasa Melayu, Dr Mahathir mendakwa orang Melayu tidak menyokong Anwar kerana didakwa memiliki ideologi politik yang liberal.

Ketika ditanya sama ada masihkah ada kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Dr Mahathir, Anwar berkata, gabungan itu masih terbuka kepada sebarang perbincangan dengan negarawan itu.

“Perbincangan dalam PH hari ini antara PKR, DAP dan Amanah. Bersatu sudah meninggalkan PH. Hari ini beliau (Dr Mahathir) tidak bersama dalam PH, tetapi kami terbuka untuk berunding,” katanya.

Anwar juga berkata PH kini lebih bertumpu kepada membantu menyelesaikan masalah dihadapi rakyat seperti isu ekonomi dan COVID-19.

Beliau berkata kira-kira 250 ahli PKR meninggalkan parti itu, termasuk mereka yang dipecat dan angka itu adalah kecil jika dibandingkan dengan satu juta ahli yang dimiliki parti itu.

Semalam Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata PKR telah meluluskan keahlian 12,896 orang dari 1 Jan hingga 11 Mac.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )