Surat Presiden UMNO: Bersatu fokus perkasa gerak kerja dengan rakan dalam PN

Surat Presiden UMNO: Bersatu fokus perkasa gerak kerja dengan rakan dalam PN

KUALA LUMPUR,. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk terus fokus memperkasa gerak kerja dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN), berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin,. berkata kerjasama itu melibatkan parti dalam PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN.

Beliau berkata, Bersatu memandang serius kandungan surat dihantar Presiden UMNO bertarikh 26 Feb lalu, kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara UMNO, Bersatu dan PN.

“Bersatu juga berpendirian bahawa kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan, malam ini (4 Mac).

Terdahulu, Bersatu mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipengerusikan Muhyiddin yang juga Presiden parti itu, di Putrajaya hari ini.

Pada mesyuarat itu, Bersatu turut menzahirkan kesyukuran di atas kejayaan kerajaan PN menempuhi setahun mentadbir negara.

Hamzah berkata, dalam tempoh pentadbiran setahun itu, kerajaan PN telah berjaya menjulang prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, telus serta berintegriti, terutama dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

“Dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan,” katanya.

Justeru katanya Bersatu mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqomah, dalam mendokong serta mempertahankan aspirasi kerajaan PN.

UMNO mengutuskan surat kepada Muhyiddin untuk memaklumkan tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15, namun berpendapat kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )