Amalan pemakanan tidak sihat, kurang aktiviti fizikal punca utama obesiti – Dr Dzulkefly

Amalan pemakanan tidak sihat, kurang aktiviti fizikal punca utama obesiti – Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA,. Amalan pemakanan yang tidak sihat dan kurang aktiviti fizikal merupakan komponen utama yang menyumbang kepada masalah obesiti, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata sebarang dakwaan bahawa kedai makan 24 jam turut menjadi punca utama obesiti di Malaysia harus dibuktikan secara empirikal iaitu melalui kajian yang objektif dan menyeluruh.

“Menutup kedai makan 24 jam tidak menjamin pengguna tidak akan mencari alternatif.

“Ia harus mengambil kira keseluruhan sumber makanan yang mudah didapatidi Malaysia seperti mi segera dan makanan berkelah,” katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Sulaman Kasih di Aidilfitri anjuran Kementerian Perpaduan Negara di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menggesa kedai makan dilarang beroperasi 24 jam bagi membantu mengurangkan masalah kesihatan dan obesiti di negara ini.

Dr Dzulkefly berkata setiap individu bertanggungjawab ke atas tabiat pemakanan dan gaya hidup masing-masing.

“Sebarang perubahan tingkah laku individu memerlukan tahap kesedaran dan literasi kesihatan yang tinggi, namun di Malaysia satu daripada tiga individu mempunyai tahap literasi kesihatan yang rendah,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata cadangan CAP berkaitan penutupan kedai makan 24 Jam akan diperhalusi termasuk sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan agar isu itu dapat dicerakin secara menyeluruh dan syor penyelesaian mempunyai hala tuju serta keberhasilan yang jelas.

“Kertas cadangan akan disediakan untuk penelitian dan tindakan seterusnya oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan terdapat keperluan mendesak untuk kumpulan yang bergantung kepada perkhidmatan kedai makan 24 jam seperti petugas barisan hadapan antaranya polis, bomba, doktor,jururawat dan petugas keselamatan.

“Menghentikan perkhidmatan secara pukal akan menyebabkan kesukaran kepada mereka,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )