JPP sedang ambil langkah segera pastikan Projek Pakej D44 disiapkan
KUALA LUMPUR,. Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) sedang mengambil tindakan segera untuk memastikan Projek Pakej D44 Pembinaan Rangkaian Paip Pembetungan (Pakej D44) bernilai RM393 juta yang sepatutnya siap pada Februari 2018, dapat disiapkan secepat mungkin.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata projek itu yang mula dibangunkan sejak 2014 mengalami kelewatan kerana syarikat kontraktor terlibat berdepan masalah.
“Namun, saya fikir pihak JPP dalam proses mengambil tindakan segera untuk memastikan bahagian-bahagian kritikal dapat disiapkan dengan segera dan saya juga akan tanya JPP bila ia dapat disiapkan,” katanya selepas merasmikan pelancaran aplikasi ForestONE di pusat beli-belah 1 Utama di sini semalam.
Nik Nazmi berkata demikian sebagai mengulas perkembangan projek itu yang masih belum dapat disiapkan meskipun pihak kontraktor telah diberi pelanjutan masa hingga 22 Nov lepas untuk menyiapkan sepenuhnya kerja-kerja di tapak.
Projek Pakej D44 yang melibatkan JPP sebagai agensi pelaksana, adalah sebahagian daripada inisiatif River of Life Greater KL untuk meningkatkan kualiti air sungai dengan penumpuan kepada kawalan pencemaran kumbahan di kawasan tadahan pembetungan Bunus.
Skop projek itu termasuk mereka bentuk dan membina rangkaian paip pembetungan sepanjang 55 kilometer dan menaik taraf dua stesen pam utama di dua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Mengenai cadangan beberapa pihak agar tarif air kembali disemak berikutan sudah lebih 20 tahun tiada kajian semula dibuat berhubung pelarasan tarif air, Nik Nazmi berkata perkara itu sudah dibawa ke Kabinet dan kini di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.
Sementara itu, ditanya sama ada pembabitan syarikat lain yang menawarkan pembiayaan pakej pemasangan panel solar akan diperluaskan, Nik Nazmi berkata kementeriannya tiada halangan untuk mana-mana syarikat swasta berbuat demikian.
“Sekarang pasaran terbuka dan tiada yang boleh menghalang syarikat swasta ini untuk turut serta. Banyak sebenarnya syarikat swasta hari ini telah memberi fokus kepada peralihan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui selain soal kecekapan tenaga dan saya percaya ini akan berterusan,” katanya.
Berhubung program ForestONE itu yang membolehkan orang ramai menanam pokok secara maya sebelum diterjemahkan kepada penanaman pokok sebenar, Nik Nazmi berkata ia pendekatan yang harus dicontohi terutama oleh pusat beli-belah baharu yang sedang dan bakal dibina.
“Ini mungkin boleh jadi satu standard untuk mereka yang lain sebab saya fikir ini juga antara perkara bukan sahaja diminta oleh pelabur tetapi juga pengguna yang mahukan pusat beli-belah lebih hijau,” katanya.
— BERNAMA