PM: Usaha bendung COVID-19 mula membuahkan hasil
KUALA LUMPUR,. Fokus utama kerajaan untuk membendung penularan pandemik COVID-19 mula membuahkan hasil berkat kerjasama semua pihak dan pelaksanaan strategi yang berkesan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sehingga kini berjaya memberi vaksin kepada lebih 95 peratus populasi dewasa dan lebih 66 peratus populasi remaja setakat 2 Nov, merupakan game changer (pencetus perubahan) yang menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial termasuk pergerakan merentas negeri.
Selain itu, beliau berkata bilangan kes jangkitan harian COVID-19 juga berjaya diturunkan dan memberi kelegaan kepada rakyat serta petugas barisan hadapan.
“Secara umumnya dari segi psikologi, rakyat kini berasa lebih positif kerana telah dapat memulakan semula kehidupan seharian.
“Walaubagaimanapun kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa pandemik dan bersiap sedia memperkenalkan langkah-langkah tertentu demi memelihara nyawa rakyat dan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara di sini, hari ini.
Ismail Sabri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengorbanan petugas barisan hadapan serta sokongan dan dukungan semua lapisan masyarakat dalam membantu kerajaan memerangi pandemik COVID-19.
“Kerajaan juga amat bersimpati dan merakamkan ucapan takziah kepada mereka yang telah kehilangan ahli keluarga akibat pandemik ini. Sesungguhnya kehilangan ini amat menyedihkan,” katanya.
Perdana menteri berkata kerajaan akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama dan untuk tujuan itu, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk konsep Keluarga Malaysia.
Beliau berkata konsep Keluarga Malaysia sebagai pendekatan pentadbiran negara bersifat inklusif merentasi kepelbagaian dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mengajak seluruh rakyat bersama-sama menggembleng tenaga bagi membawa negara keluar daripada pandemik COVID-19 khususnya memulihkan ekonomi.
Menurutnya, konsep itu telah mendapat maklum balas serta penerimaan positif dalam kalangan rakyat dan ia akan dijadikan falsafah baharu dalam pentadbiran negara.
“Dalam hubungan ini, patik memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT dengan keberhasilan Program Memorandum Persefahaman (CSA) yang ditandatangani antara pihak kerajaan dengan pembangkang. Semua tumpuan kini adalah saling bekerjasama untuk membangunkan negara supaya pulih daripada krisis ekonomi dan kesihatan awam.
“Alhamdulillah hasilnya terlihat jelas dengan perjalanan urusan di Parlimen yang lancar serta konstruktif yang merupakan manifestasi muafakat Keluarga Malaysia serta demokrasi bermusyawarah seperti titah Tuanku,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata sejak pandemik COVID-19 melanda negara, lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi diperkenalkan kerajaan bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dengan membantu usahawan memulihkan perniagaan mereka.
Beliau berkata indikator awal kejayaan pakej-pakej itu terlihat apabila pertumbuhan ekonomi negara berkembang 7.1 peratus pada separuh pertama 2021.
“Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi diunjurkan berkembang antara tiga hingga empat peratus tahun ini dan terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus berpaksikan asas ekonomi yang kukuh selain kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi dan keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia,” katanya.
Perdana Menteri berkata misi pemulihan ekonomi negara juga akan terus dipacu melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta beberapa lagi inisiatif turut dilaksanakan antaranya Misi Galakan Perdagangan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan memastikan kesemua inisiatif terkandung dalam Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt lepas akan dipantau secara teliti bagi memastikan hasil pelaksanaannya dinikmati oleh setiap Keluarga Malaysia.
Katanya, kerajaan menyedari pencapaian prestasi ekonomi yang baik semata-mata adalah tidak memadai sekiranya isu seperti kelemahan tadbir urus, ketirisan, penyelewengan serta salah guna kuasa masih di takuk lama termasuk isu dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020 yang jelas menunjukkan usaha pembaharuan tertentu perlu dilakukan.
Justeru, beliau berkata kerajaan akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan lebih tegas dan cekap bagi memastikan isu-isu sama tidak lagi berulang, selain pembaharuan prosedur dan penekanan budaya kerja berprestasi tinggi.
“Patik dan seluruh jentera kerajaan tuanku akan melaksanakan penyelesaian terbaik demi memastikan setiap sen yang dibelanja memberi nilai pulangan ekonomi yang lebih baik kepada rakyat dan negara.
“Patik serta barisan Anggota Jemaah Menteri sedang berusaha memerah buah fikiran dan tenaga untuk memastikan pencapaian kerajaan. Insya-Allah patik akan membentangkan Laporan Pencapaian 100 Hari kerajaan apabila tiba masanya nanti,” katanya.
— BERNAMA