Holyfield dedah rahsia tumbangkan Tyson
NEW YORK,. Evander Holyfield percaya tindakannya selangkah di depan Mike Tyson menjadi penyebab dua kejayaan mengatasi pencabarnya itu dalam saingan tinju heavyweight.
Kali pertama Holyfield menewaskan Tyson ialah menerusi TKO pada pusingan ke-11 pada 1996 dan kemudian menang pertarungan semula tahun berikutnya mengatasi Iron Mike menerusi pembatalan pusingan ketiga kerana menggigit telinga lawan.
Tyson menjadi pilihan utama untuk pertarungan pertama kali menentang Holyfield, yang tewas dua kali kepada Riddick Bowe dan sekali kepada Michael Moorer sebelum pertarungan itu.
“Saya sentiasa mahu ke depan, semua orang merasakan saya mahu melarikan diri daripada Mike, saya mahu dia tahu saya tidak ke mana-mana, itulah perkara paling besar,” kata Holdfield kepada BBC Radio 5 Live.
“Saya rasa ada tangan yang lebih pantas berbanding Mike, saya rasa ada jangkauan tangan lebih baik. Saya beberapa kali dapat menumbuknya, apabila anda mula menumbuk lawan ia akan berubah.
“Mike juga pernah berkata, ‘semua orang ada perancangan sehingglah dia mula terkena tumbukan’. Saya seorang daripada petinju yang banyak kali ditumbuk dengan hentaman yang kuat, tapi saya boleh menerimanya.
“Perkara paling utama ialah Mike tidak banyak ditumbuk kerana petinju lain agak ‘pemalu’ dengan Mike. Dengan saya tidak begitu, saya sedar dia akan menumbuk saya tetapi saya juga ada hak untuk kembali menumbuknya.
“Seni pertarungan ini ialah untuknya mengetahui bahawa dia memilih orang yang salah kali ini, kerana jika dia mahukan saya, dia perlu mengatasi saya.
“Saya sudah membuat keputusan yang saya akan melakukannya kali terakhir, jadi apabila dia kembali ke sudut gelanggang saya mahu dia memikirkan mengenai betapa kuat saya menumbuknya.
“Saya tidak mahu memikirkan mengenai betapa teruk dia memukul saya. Saya tahu ia adalah sebahagian perancangan itu, anda perlu memberinya tekanan, anda perlu menewaskannya dengan tumbukan terbaik.” – Agensi