YAYASAN PETRONAS TERUS PACU PEMBANGUNAN PENDIDIKAN STEM

YAYASAN PETRONAS TERUS PACU PEMBANGUNAN PENDIDIKAN STEM

PUTRAJAYA,. Usaha memperkukuh ekosistem pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah terus dipertingkat menerusi Inisiatif Penambahbaikan Makmal Sains di bawah Program Duta Guru (PDG) Yayasan PETRONAS dengan peruntukan RM 8 juta bagi kali kedua kepada Kementerian Pendidikan.

Dilancarkan pada 2025, inisiatif itu bertujuan menyediakan peralatan makmal sains asas kepada sekolah bagi menyokong pembelajaran secara praktikal dan berasaskan eksperimen, selaras dengan kurikulum kebangsaan selain meningkatkan kompetensi pembantu makmal menerusi latihan berstruktur bagi memastikan pengurusan dan pengendalian makmal sains yang selamat.

Inisiatif Penambahbaikan Makmal Sains turut melibatkan 222 sekolah di seluruh negara dan seramai 864 pembantu makmal telah mengikuti latihan pembangunan kompetensi, melengkapi usaha PDG yang telah merangkumi lebih 1,500 sekolah di Malaysia sejak pelaksanaannya pada 2019.

Pembantu Makmal Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah, Kulai, Johor, Surinawati Suhaimi berkata penglibatannya dalam program latihan pembantu makmal telah membuka peluang untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kreativiti dalam membantu guru melaksanakan eksperimen sains.

Beliau yang mempunyai pengalaman hampir 15 tahun sebagai pembantu makmal berkata antara manfaat utama program itu ialah pendedahan kepada inovasi, perkongsian amalan terbaik dan latihan berkaitan pengurusan makmal dan pelaksanaan eksperimen, sekali gus membolehkannya meneroka kaedah alternatif yang lebih praktikal dan menjimatkan kos.

Sebagai contoh, beliau menghasilkan inovasi menggunakan pam elektrik berharga kira-kira RM10 hingga RM15 bagi menggantikan pam vakum yang boleh mencecah RM700 hingga RM800 untuk eksperimen menunjukkan kesan rokok terhadap paru-paru manusia seperti dalam silibus Sains Tingkatan Tiga.

“Pada saya, inovasi bukan semestinya sesuatu yang besar atau memerlukan kos tinggi. Idea yang kecil juga mampu memberikan impak besar. Kita tidak sepatutnya menjadikan kekurangan peralatan sebagai alasan untuk tidak menjalankan eksperimen, sebaliknya perlu sentiasa berfikir secara kreatif untuk mencari penyelesaian,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Simposium Kebangsaan PDG 2026 yang dirasmikan Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek di sini baru-baru ini.

Antara peralatan yang disumbang oleh Yayasan PETRONAS termasuk peralatan digital, neraca elektronik pam vakum, penjana Van de Graaff dan kit model molekul organik.

Inisiatif penambahbaikan makmal sains itu merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh PDG dalam memperkukuh ekosistem pendidikan STEM negara menerusi pembangunan kompetensi guru, pengenalan kaedah pengajaran inovatif dan penambahbaikan kemudahan pembelajaran di sekolah.

PDG merupakan sebuah program selama tempoh dua tahun yang bertujuan memperkasakan 4,500 guru teladan yang kompeten dan komited untuk meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sebagai asas sebuah negara berdaya saing menjelang 2030.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Teach For Malaysia dan Petrosains. Inisiatif ini bukan sahaja memberi penekanan kepada peningkatan kompetensi pedagogi, malah menggalakkan guru meneroka pendekatan pengajaran yang inovatif serta membina jaringan kerjasama yang lebih luas dalam ekosistem pendidikan.

Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid (STEM) Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Noratiqah Mohd Amin, 41, berkata penyertaan dalam PDG telah membuka peluang kepadanya untuk meningkatkan kemahiran pengajaran, meneroka bidang inovasi dan mendapatkan sokongan bagi memperkukuh kemudahan pembelajaran STEM di sekolahnya.

“Saya telah berkhidmat sebagai guru sejak 2008 dan mempunyai kelayakan serta kompetensi yang diperlukan dalam bidang perguruan. Namun, PDG memberikan jiwa dan semangat baharu kepada saya kerana program ini bukan bertujuan menambah beban tugas, sebaliknya membantu kita menghayati semula visi pendidikan, memperkukuh keupayaan sedia ada dan menilai kembali potensi diri untuk menjadi pendidik yang lebih baik.

“Apabila guru, pembantu makmal dan kemudahan yang disediakan bergerak seiring, proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan. Saya dapat melihat sendiri impaknya apabila sekolah menerima peralatan baharu dan pembantu makmal turut diberikan latihan,” kata Duta Guru dari Kohort 3 PDG itu.

Dari sudut pengajaran dan pembelajaran, Noratiqah yang merupakan bekas guru Fizik Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Kota Bharu, Kelantan berkata pendekatan yang dipelajarinya menerusi PDG membantunya membina hubungan lebih baik dengan pelajar, selain menjadikan sesi pembelajaran Fizik lebih menarik dan berpusatkan murid.

“Pelajar sekarang bukan sekadar mahu menerima maklumat, mereka mahu meneroka dan melihat sendiri bagaimana sesuatu konsep itu berlaku, terutama apabila kita membawa mereka ke makmal. Saya melihat perubahan dari segi minat dan penglibatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS Fifinaz Nareeman Faizal berkata sebagai rakan strategik KPM, pihaknya terus komited dalam menyokong usaha pembangunan keupayaan pendidik bagi membina ekosistem pendidikan inovatif dan membuka ruang untuk pelajar mengembangkan potensi masing-masing.

“Pada simposium tahun ini, kita meraikan 745 guru Kohort Enam yang akan menamatkan latihan dan bimbingan PDG. Dengan kohort ini, komuniti Duta Guru telah berkembang kepada 2,089 pendidik seluruh Malaysia. Angka ini bukan sekadar jumlah penyertaan tetapi ia melambangkan sebuah komuniti pendidik kebangsaan yang saling menguatkan, berkongsi amalan terbaik dan memberi impak positif kepada ribuan murid,” katanya.

Beliau berkata penyediaan persekitaran pembelajaran STEM yang kondusif merupakan aspek penting dalam membangunkan bakat masa hadapan Malaysia dan guru memerlukan keupayaan serta sumber yang bersesuaian untuk membimbing murid mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi sebenar.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata pendidikan STEM memainkan peranan penting dalam membentuk potensi dan karakter murid, selain menyediakan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk menghadapi cabaran masa kini dan masa hadapan.

Beliau berkata pendidikan STEM bukan sekadar membina penguasaan ilmu sains dan teknologi, tetapi turut memupuk budaya berfikir, integriti, etika dan keupayaan membuat keputusan berasaskan bukti, yang penting dalam melahirkan generasi berdaya saing dan bertanggungjawab.

“Peranan guru sangat penting dalam pendidikan STEM ini. Saya mahu melihat guru-guru STEM berupaya membentuk anak-anak yang jauh lebih baik melalui sains, kerana proses ilmu, integriti dan pemikiran berasaskan bukti merupakan asas pembentukan karakter yang akan dibawa dalam kehidupan sebenar,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This