PENGECUALIAN DUTI HIBURAN BANTU KURANGKAN KOS PRODUKSI TEATER TEMPATAN – PTM

PENGECUALIAN DUTI HIBURAN BANTU KURANGKAN KOS PRODUKSI TEATER TEMPATAN – PTM

KUALA LUMPUR,. Pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket pementasan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai tahun depan dijangka membantu mengurangkan kos produksi serta memperkukuh kelangsungan kumpulan teater tempatan.

Timbalan Presiden Persatuan Teater Malaysia (PTM) Mohamad Letfee Ahmad berkata pihaknya menyambut baik inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu, sambil menyifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap peranan teater dalam pendidikan, pembinaan jati diri, pemeliharaan warisan budaya dan pengukuhan perpaduan masyarakat.

“Penjimatan yang diperoleh diharap dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan mutu produksi serta memperkukuh kebajikan dan bayaran tenaga pentas, selain membolehkan harga tiket ditawarkan pada kadar lebih berpatutan jika bersesuaian dengan struktur kos penerbitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan dasar itu perlu disokong dengan garis panduan yang jelas, mudah dan inklusif bagi memastikan manfaatnya turut dinikmati kumpulan teater bebas, penerbit kecil, penggiat baharu serta organisasi seni bukan berasaskan keuntungan.

Mohamad Letfee berkata pengecualian seumpama ini diharapkan dapat dipertimbangkan oleh kerajaan-kerajaan negeri agar peluang pembangunan teater tempatan tidak hanya tertumpu di Wilayah Persekutuan, sebaliknya dapat diperluas ke seluruh negara.

Beliau berkata pengecualian duti hiburan itu perlu disertai dengan sokongan lebih menyeluruh, termasuk geran produksi, pembangunan bakat, latihan profesional dan penyediaan kemudahan ruang persembahan bagi membina ekosistem teater yang mampan.

“Bagi PTM, pengecualian duti hiburan akan membuka ruang untuk teater tempatan terus hidup, berkembang dan mendekati masyarakat,” katanya.

Mohamad Letfee berkata inisiatif itu diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan industri teater tempatan yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya saing, sekali gus memperluas peranan seni persembahan dalam pembangunan budaya dan industri kreatif negara.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan kerajaan memberikan pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket tayangan filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai tahun hadapan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This