
MTHQA ke-66: Qariah Malaysia juara tilawah, qari naib juara
KUALA LUMPUR,. Qariah Malaysia Nur Syakura Mohamad Musa muncul juara tilawah al-Quran kategori wanita pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 hari ini, sekali gus membolehkan Malaysia mempertahankan kejuaraan kategori itu yang dimenangi wakil negara pada edisi tahun lepas.
Nur Syakura memperoleh 91.83 markah, mengatasi wakil Singapura A’tiiqah Suhaimi yang meraih 91.00 markah, manakala peserta Brunei Dayangku Siti Ummi Syazana Pengiran Marjuki menduduki tempat ketiga dengan 90.83 markah.
Dalam kategori tilawah al-Quran lelaki, peserta Indonesia Muhammad Fauji Ridwan muncul juara dengan 94.67 markah, diikuti wakil Malaysia Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali di tempat kedua dengan 92.99 markah, manakala wakil Belgium Brahim Boughalab menduduki tempat ketiga dengan 92.17 markah.
Bagi kategori hafazan al-Quran lelaki, peserta Bangladesh Ehtishamul Hoque Hira muncul juara dengan 97.00 markah, mengatasi wakil Syria Abdul Rahman Jamal Ibrahim yang turut memperoleh markah sama.
Ehtishamul dinobatkan sebagai juara berdasarkan markah ketepatan dan penguasaan tajwid, yang menjadi penentu kedudukan apabila kedua-dua peserta mencatatkan markah keseluruhan yang sama.
Wakil Malaysia Muhammad Izzul Afnan Sazali menduduki tempat ketiga kategori itu dengan 96.33 markah.
Dalam kategori hafazan al-Quran wanita, peserta Niger Chafaatou Issoufou muncul juara dengan 96.17 markah, diikuti wakil Libya Minnah Ali Alsoudani Aghnayah yang memperoleh 95.50 markah, manakala peserta Myanmar Thein Gi Mon di tempat ketiga dengan 95.00 markah.
Secara keseluruhan, Malaysia meraih satu kejuaraan, satu tempat kedua dan satu tempat ketiga menerusi empat kategori yang dipertandingkan pada edisi kali ini.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Bagi kategori tilawah, johan menerima wang tunai RM40,000, trofi, pakej umrah bernilai RM10,000 dan set bar emas bernilai RM3,000, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM30,000 dan RM20,000 berserta trofi.
Bagi kategori hafazan, johan menerima wang tunai RM40,000, trofi, pakej umrah atau pelancongan Muslim bernilai RM5,000 dan set bar emas bernilai RM3,000, manakala naib johan dan pemenang tempat ketiga masing-masing membawa pulang RM30,000 dan RM20,000 berserta trofi.
Selain pemenang, setiap peserta turut menerima wang saguhati berjumlah RM3,000.
MTHQA ke-66 yang bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” menghimpunkan 50 peserta dari 38 negara, terdiri daripada 34 lelaki dan 16 wanita.
–BERNAMA
