PKMM SELANGOR HARAP BELANJAWAN 2027 TERUS SOKONG KELANGSUNGAN KONTRAKTOR KECIL

PKMM SELANGOR HARAP BELANJAWAN 2027 TERUS SOKONG KELANGSUNGAN KONTRAKTOR KECIL

SHAH ALAM, 19 Sept (Bernama) — Peluang kerja yang lebih luas menerusi Belanjawan 2027 diperlukan bagi memastikan 9,469 kontraktor bumiputera G1 hingga G4 di Selangor terus berdaya tahan dalam industri pembinaan.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Selangor Latif Wagiman berkata kontraktor kecil perlu terus diberi ruang melaksanakan projek bersesuaian, khususnya kerja penyelenggaraan dan baik pulih jalan, perparitan, bangunan sekolah serta balai raya.

“Kebanyakan kontraktor G1 hingga G4 selama ini melaksanakan projek kecil di kampung dengan hasil yang memuaskan.

“Justeru, kami berharap kerajaan dapat memberi projek yang bersesuaian kepada lebih 60 peratus kontraktor ini supaya mereka terus mempunyai kerja dan mampu bertahan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Sehubungan itu, Latif berharap peruntukan bagi kontraktor kecil bumiputera dapat ditingkatkan sehingga RM4 bilion dalam Belanjawan 2027, berbanding RM2.4 bilion yang disediakan menerusi Belanjawan 2026.

Beliau berkata peningkatan itu bukan sekadar bagi menyediakan lebih banyak projek, tetapi penting untuk memperkukuh kedudukan kontraktor kecil yang menjadi sebahagian daripada rantaian industri pembinaan negara.

“Kontraktor tidak meminta projek diberikan secara percuma. Apa yang diperlukan ialah peluang yang lebih adil, kadar harga munasabah dan kaedah pembayaran tidak membebankan aliran tunai,” katanya.

Latif turut mencadangkan mekanisme pengagihan projek menerusi sistem undi, sebut harga dan tender diperkasakan bagi memastikan peluang lebih telus dan saksama kepada kontraktor yang layak.

Beliau berkata sokongan dari aspek pembiayaan, latihan, teknologi dan pengurusan kewangan juga perlu dipertingkat bagi memperkukuh daya saing kontraktor kecil.

Pada 13 Ogos lepas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementerian menerima 30 usul strategik daripada industri pembinaan untuk dipertimbangkan sebagai input Belanjawan 2027, dengan tumpuan antaranya kepada produktiviti, penggunaan teknologi dan daya saing industri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Okt.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This