Wujud portal bantu rakyat lawan scam, tangkis fitnah

Wujud portal bantu rakyat lawan scam, tangkis fitnah

PUTRAJAYA,. Sebuah portal yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) akan diwujudkan, untuk membantu rakyat mengesahkan maklumat yang diterima, menangkis berita fitnah serta melawan penipuan atau scam, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Portal itu katanya diperluaskan dari segmen khas ‘Biar Betul!’ yang ditayangkan di saluran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), memandangkan segmen yang berdurasi kurang daripada seminit itu tidak memadai dan perlu dirancakkan bagi menangani isu tersebut.

“Masih di peringkat awal, tapi ada keperluan supaya rakyat secara amnya tidak perlu ragu-ragu tentang bahan yang dibaca. Sekiranya ada syak wasangka boleh rujuk (kepada portal itu).

“Hari ini kita boleh tonton episod ‘Biar Betul!’ dalam pelbagai platform termasuk di RTM, di mana setiap hari bongkar bahan scam, kandungan palsu, berita fitnah tapi kita lihat belum memadai dan perlu dirancakkan,” katanya selepas melancarkan program Jom Baca Bersama 10 Minit peringkat Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Fahmi berkata platform baharu itu, akan menggembeleng kemampuan bersama platform sedia ada antaranya SEBENARNYA.MY di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan MyCheck.My, diuruskan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan ‘Biar Betul!’ untuk memudahkan rakyat membuat pencarian dan mengesahkan sebarang maklumat yang diterima.

Fahmi berkata kementerian juga akan bekerjasama dengan platform media sosial, supaya maklumat yang diterima pengguna melalui proses pengesahan seperti yang diamalkan di platform X yang melampirkan Community Notes dalam sesuatu hantaran, membolehkan pengguna memberi maklum balas pada hantaran tersebut.

Selain itu, sejumlah 1,878 komuniti MADANI seluruh negara juga boleh dimanfaatkan sebagai ejen ‘Biar Betul!’ dan barisan hadapan untuk menangkis fitnah, memperbetul persepsi serta menyemak fakta dengan kementerian bagi memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat dilakukan dengan lebih jelas dan tersusun.

Beliau berkata perkara itu dipandang serius memandangkan maklumat MCMC menunjukkan hampir 80 peratus kandungan yang diturunkan sehingga April adalah bersifat scam, termasuk penipuan iklan serta judi dalam talian.

Terdahulu, Fahmi dalam ucapan berkata tema program Jom Baca Bersama 10 Minit ‘Pembacaan Melestarikan Perpaduan’ amat bertepatan dengan konsep MADANI, yang mencerminkan penekanan ke arah pembentukan masyarakat bertamadun, saling memberi pandangan dan memupuk perpaduan.

Anjuran bersama Pusat Sumber Kementerian Komunikasi dan Pusat Sumber dan Foto Jabatan Penerangan Malaysia (Japen), program itu diadakan bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia disambut seluruh dunia pada 23 April setiap tahun.

Turut menjayakan progam itu ialah Pusat Maklumat dan Perpustakaan (Infolib) Bernama, Pusat Sumber Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Perpustakaan RTM serta Pusat Sumber Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )