Tabung Haji lancar rangka kerja pengawasan asas pentadbiran

Tabung Haji lancar rangka kerja pengawasan asas pentadbiran

KUALA LUMPUR,. Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan Rangka Kerja Pengawasan (RKP) sebagai asas struktur pentadbiran, bagi membantu agensi itu melaksanakan amanah dalam menyediakan perkhidmatan haji bertaraf dunia yang lebih berkesan dan lestari.

Pengerusinya Tan Sri Md Nor Yusof berkata RPK adalah berlandaskan konsep maqasid syariah yang merangkumi lima prinsip utama iaitu perlindungan agama, kehidupan, intelek, harta benda dan generasi akan datang.

“Objektif utama Rangka Kerja Pengawasan TH ini adalah untuk menerapkan maqasid syariah, menjalankan operasi dengan kepatuhan pada prinsip syariah dan mengamalkan pentadbiran korporat yang kukuh dan berintergriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Md Nor, menerusi pelancaran itu, TH turut memperkenalkan program dalaman bagi membantu kakitangan agensi tersebut menyerap RKP secara progresif dan peranan rangka kerja itu dalam mengukuhkan pentadbiran korporat TH untuk masa depan.

Beliau berkata sejak penubuhan TH pada 1963, badan itu telah menguruskan ibadah haji untuk 1.5 juta umat Islam dan kini, kira-kira separuh daripada umat Islam di Malaysia atau 8.3 juta individu telah mendaftar sebagai pendeposit untuk menunaikan rukun Islam itu.

Melihat pada pembangunan TH selama ini, Md Nor berkata menjadi satu keperluan bagi agensi itu untuk mengukuhkan lagi struktur pentadbiran menerusi RKP.

“Dengan lebih 58 tahun pengalaman dalam operasi patuh syariah, adalah penting bagi kami memastikan kemampanan TH dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata sempena dengan pelancaran tersebut, pelbagai program dan akiviti dalaman akan dilaksanakan dengan penglibatan warga kerja dalam usaha memperkuatkan tadbir urus korporat TH.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )