Muhyiddin dilantik Pengerusi Majlis Pemulihan Negara
KUALA LUMPUR,. Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya Rabu lepas, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Beliau yang juga Setiausaha Jemaah Menteri berkata pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Pelantikan itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Pihak Kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pelantikan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
— BERNAMA