
Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor berkenan saksikan pemeteraian MoU pembangunan bandar pintar Selangor
SHAH ALAM,. Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, berkenan mencemar duli berangkat bagi menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Bandar Pintar Negeri Selangor.
Turut berangkat mengiringi Baginda ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Majlis yang berlangsung di Concorde Hotel, Shah Alam itu menandakan kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kerajaan Negeri Selangor dalam memperluas pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, meliputi penyediaan perkhidmatan Wi-Fi awam berkelajuan tinggi, peluasan rangkaian gentian optik bagi keperluan masa hadapan, pelaksanaan rangkaian generasi kelima (5G) serta pemasangan tiang pintar bagi memastikan liputan rangkaian yang menyeluruh di seluruh negeri, di samping memperkukuh keselamatan awam, pengurusan trafik dan pengurusan banjir pintar.
Kesemua inisiatif itu akan dipantau melalui Selangor Integrated & Intelligent Operations Centre (SIIOC).

UCAPAN: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sedang berkata sesuatu semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Bandar Pintar Negeri Selangor.
Pada masa sama, peruntukan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif ini telah dipertingkat kepada RM450 juta, berbanding peruntukan asal RM350 juta, susulan permohonan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada MCMC.
Sesi pertukaran dokumen MoU telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din serta disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Bagi memacu transformasi strategik itu selari dengan aspirasi nasional Malaysia Digital 2030 dan Pelan Pendigitalan Negeri Selangor 2026-2030, Smartsel Sdn. Bhd. (SMARTSEL), anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, bertindak sebagai agensi pelaksana utama untuk menyelaraskan integrasi lima komponen bandar pintar termasuk mobiliti, keselamatan awam, pengurusan bencana, tadbir urus digital, serta ketersambungan industri melalui rangkaian 5G.
Kerjasama itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan teknologi termaju seperti 5G dan kecerdasan buatan (AI) memberi manfaat kepada rakyat.
Inisiatif Bandar Pintar Negeri Selangor bukan sahaja memfokuskan pembangunan infrastruktur, malah memperkasakan komuniti melalui perkhidmatan digital yang cekap, selamat dan inklusif, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.
Prakarsa Pembangunan Bandar Pintar Negeri Selangor bersedia memperkukuh transformasi teknologi bersepadu di peringkat negeri, termasuk pengintegrasian data masa nyata daripada sensor IoT di seluruh Selangor, bagi menangani cabaran perbandaran yang semakin kompleks serta memperkukuh penyelarasan penyampaian perkhidmatan merentas agensi kerajaan negeri.
Keberangkatan DYMM Tuanku serta DYTM Raja Muda mencerminkan komitmen negeri terhadap agenda digital bagi menjamin kesejahteraan rakyat melalui tadbir urus berdaya tahan yang memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kualiti hidup, kecekapan perkhidmatan dan kelestarian pembangunan di Selangor.
