
Lebih 90,000 warga asing ditahan dari 2024 – KPN
KUALA LUMPUR,. Sebanyak 96,844 warga asing ditahan atas pelbagai jenayah dari 2024 hingga September lepas berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 33,136 tangkapan dibuat pada 2024 sebelum meningkat kepada 36,740 tangkapan pada tahun berikutnya, iaitu peningkatan sebanyak 3,604 tangkapan atau 10.9 peratus.
Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 26,968 tangkapan direkodkan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah melibatkan warga asing termasuk memperkukuh sinergi dengan agensi lain melalui operasi bersepadu, perkongsian risikan dan penguatkuasaan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khalid berkata PDRM komited melaksanakan penguatkuasaan secara tegas dan berterusan terhadap mana-mana individu termasuk warganegara asing yang didapati terlibat dalam kegiatan jenayah di Malaysia.
Beliau berkata PDRM berpegang teguh kepada prinsip kesamarataan di sisi undang-undang dan setiap individu tanpa mengira status, kedudukan atau warganegara adalah tertakluk kepada undang-undang di negara ini.
Beliau berkata sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang tidak akan dikompromi dan akan ditangani melalui tindakan penguatkuasaan yang tegas selaras dengan peruntukan perundangan berkuat kuasa.
“PDRM menyeru masyarakat agar terus berperanan sebagai rakan strategik polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa.
“Kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat penting dalam membantu usaha pencegahan jenayah bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Pada Rabu lepas, seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing yang mengamuk di sebuah premis kediaman di Desa Aman Puri, Kepong dekat sini.
Lans Koperal Thierry Rodger Fendy selamat menjalani pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanan di Hospital Kuala Lumpur pada Khamis lepas.
— BERNAMA
