Sofy tekad tingkat kemahiran selepas lama berehat

Sofy tekad tingkat kemahiran selepas lama berehat

KUALA LUMPUR,. Pemain boling kebangsaan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman mahu menggunakan tempoh rehat tidak dirancang akibat pandemik COVID-19 untuk mempertingkatkan kemahiran, di samping mengukuhkan ikatan bersama rakan sepasukan.

Memandangkan tiada tugasan besar dalam masa terdekat sehingga tibanya Kejohanan Asia di Hong Kong yang ditunda dari 4 hingga 14 Julai kepada 15 hingga 25 Januari depan, pemain berusia 29 tahun itu percaya ia adalah masa yang sesuai untuk membuat peningkatan diri.

“Buat masa ini tiada apa-apa kejohanan dalam masa terdekat. Kita boleh menggunakan masa ini untuk memperbaiki ketepatan dan konsisten. Macam saya, kena banyak fokus kepada kelajuan, teknik melepaskan bola dan banyak lagi yang perlu diperbaiki.

“Sekarang ada banyak masa, jadi saya mahu menggunakannya dengan cermat untuk memperbaiki satu demi satu. Kami juga mempunyai lebih banyak masa untuk ikatan sepasukan dan berbincang dengan jurulatih mengenai permainan kami,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kali terakhir Siti Safiyah Amirah dan pasukan negara beraksi ialah pada temasya Sukan SEA 2019 di Manila di mana pemain anggun dan bergaya ini berjaya membawa pulang tiga pingat perak dalam acara Masters wanita, beregu campuran bergandingan dengan Ahmad Muaz Mohd Fishol dan empat sepasukan wanita.

Bekas juara dunia itu kini perlahan-lahan mendapatkan kembali rentak ketika beraksi di gelanggang boling dengan menggilap semula kemahiran beliau selepas lebih tiga bulan tidak menjalani latihan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung COVID-19.

Selepas berhadapan dengan beberapa kesilapan kecil dalam fasa awal latihan, Siti Safiyah Amirah, yang lebih dikenali sebagai Sofy dalam kalangan rakan sepasukannya, kini lebih berkeyakinan dan serasi dengan corak permainan beliau.

“Selepas hampir tiga bulan tidak berlatih, jari saya macam sudah kecut. Lambat laun ia akan kembali ke ukuran sebenar, mungkin selepas satu atau dua minggu berlatih,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )