SME Corp perkasakan PMKS dengan peruntukan RM134.6 juta bagi laksana inisiatif 2024
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, SME Corp Malaysia, kekal komited memperkasakan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dengan peruntukan berjumlah RM134.6 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pada tahun 2024.
Timbalan Menterinya Datuk R.Ramanan berkata melalui peruntukan ini SME Corp menyasar lebih 16,700 PMKS bakal menerima manfaatnya pada tahun ini.
Beliau berkata setakat ini secara keseluruhannya SME Corp telah menyalurkan sejumlah RM131.3 juta dana yang berjaya memanfaatkan seramai 22,861 PMKS di seluruh negara.
Ini, katanya, termasuk program bantuan kewangan bagi tujuan eksport iaitu Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) dan program SMEs Go Global (SMEGG) serta program pembangunan keupayaan dan kapasiti eksport, dan padanan perniagaan.
“Malaysia terus komited dalam usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan negara sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).
“Ia bagi menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul serta kerangka Ekonomi MADANI sebagai wadah mengangkat semula martabat negara dengan menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara,” katanya.
R.Ramanan berkata demikian semasa sesi taklimat beliau sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama SME Corp, di sini, hari ini, sejak dilantik menyandang jawatan itu pada 12 Dis lepas.
Sesi tersebut bertujuan memberikan penerangan lanjut berkenaan peranan dan fungsi SME Corp sebagai Agensi Penyelaras Pusat (CCA) bagi pembangunan PMKS di Malaysia.
“Komitmen ini juga mengambil kira Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang telah menetapkan sasaran yang jelas untuk pertumbuhan PMKS menjelang 2025, seperti sumbangan 41 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), 15 peratus kepada eksport, 3.5 peratus dalam purata pertumbuhan produktiviti buruh dan 90 peratus PMKS mendigitalkan operasi perniagaan mereka,” katanya.
Sementara itu, R.Ramanan turut memaklumkan bahawa Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP) yang dihentikan sementara sebelum ini akan kembali ditawarkan kepada PMKS pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM55 juta.
“Selain itu, SME Corp akan terus melaksanakan program utama lain seperti Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP), Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Program Pengukuhan Eksport, Program Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) serta Program BizMe bagi pembangunan perusahaan inklusif,” katanya.
— BERNAMA