Zii Jia mara ke suku akhir Seluruh England
KUALA LUMPUR,. Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia mengekalkan momentumnya apabila mengesahkan tempat ke suku akhir Seluruh England, sebentar tadi.
Kejayaan itu hadir selepas Zii Jia menewaskan Lu Guang Zu dari China 21-10, 21-16 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Arena Birmingham.
Semalam, dia menyingkirkan pemain nombor enam dunia, Jonatan Christie dari Indonesia di pusingan pertama yang turut menjadi kemenangan sulungnya ke atas lawan berkenaan selepas tewas lima pertemuan sebelum itu.
Zii Jia, 21, akan berdepan pemenang perlawanan antara dua bekas juara dunia dari China, Lin Dan dengan Chen Long bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila tersingkir di pusingan kedua.
Mereka terpaksa akur apabila tewas di tangan pilihan kelima dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 19-21, 21-18, 10-21.