
Selangor import sepenuhnya daging babi untuk pasaran tempatan
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bersetuju supaya keperluan daging babi bagi pasaran negeri itu diimport sepenuhnya, selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu berkenaan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dengan sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import akan dirujuk kepada kerajaan Persekutuan.
“Setakat ini, 70 peratus daripada keperluan masyarakat bukan Islam bagi daging babi import dari negeri lain.
“Keputusan ini diambil bagi menjaga sensitiviti masyarakat yang khuatir terhadap impak ladang penternakan ini kepada alam sekitar termasuk saliran air dan pencemaran bau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amirudin berkata sejak Januari lepas, kerajaan negeri telah memberhentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan menumpukan kepada pengosongan tapak ladang sedia ada di Tanjong Sepat.
Beliau berkata sebagai menjunjung titah Sultan Sharafuddin, kerajaan negeri juga tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di Selangor.
“Bagi ladang penternakan yang beroperasi sebelum ini, kawasan tersebut akan ditutup dengan kadar lebih pantas secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Selangor,” katanya.
Amirudin turut berharap agar sebarang polemik berkaitan isu tersebut dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak agar tidak menggugat keharmonian dan menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin bertitah tidak memperkenankan penternakan babi untuk dijalankan di mana-mana daerah di Selangor berikutan risiko menyebabkan pencemaran yang mampu memudaratkan penduduk sekitar.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata baginda menegaskan penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara dengan mengeluarkan bau busuk serta mengganggu sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan binatang itu.
–BERNAMA
