
Sebanyak 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan Karnival LINDUNG Kerjaya@Program Rancakkan MADANI
PUTRAJAYA,. Sebanyak 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Karnival LINDUNG Kerjaya@Program Rancakkan MADANI, anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), yang bakal berlangsung dari 5 hingga 7 Disember 2025 di pekarangan Dataran Putrajaya.
Menurut PERKESO, karnival berskala nasional itu menghimpunkan pelbagai peluang dalam industri utama negara, termasuk sektor berkemahiran tinggi dan teknikal seperti kejuruteraan, geologi, maritim, keselamatan dan kesihatan pekerjaan (HSE) serta lain-lain, dengan tawaran gaji sehingga RM13,000.
Karnival yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari itu turut disertai lebih 30 majikan terkemuka, antaranya FGV Holdings Berhad, SD Guthrie, Media Prima Berhad, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, Top Glove, Amanah Raya, Mandarin Oriental, Ranhill Technologies, Westports, Port of Tanjung Pelepas dan Columbia Asia.
“Antara jawatan yang ditawarkan termasuk Pengurus dengan gaji antara RM10,000 hingga RM12,999; Juruanalisis Sistem dengan gaji maksimum RM10,000 ke atas; Pegawai Perubatan dengan gaji RM10,000 hingga RM12,999; Business Development Manager dengan gaji sehingga RM12,999; serta Senior Manager, Warehouse Department dengan gaji antara RM8,000 hingga RM9,999,” menurut PERKESO dalam kenyataan.
PERKESO memaklumkan bahawa senarai jawatan merangkumi peluang untuk graduan baharu, pencari kerja aktif dan individu yang ingin mengembangkan kerjaya mereka dalam sektor strategik negara.
Bagi membantu persediaan pencari kerja, PERKESO turut menyediakan khidmat kaunseling kerjaya, semakan resume intensif, serta konsultasi bersama Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan yang berpengalaman sepanjang karnival berlangsung.
Orang ramai digalakkan membuat prapendaftaran di www.myfuturejobs.gov.my/careerfair bagi melancarkan proses semasa hari acara.
PERKESO turut mengingatkan pencari kerja supaya hadir dengan resume terkini, berpenampilan profesional dan bersedia untuk sesi temu duga.
“Karnival ini merupakan peluang terbaik bagi mereka yang serius ingin mendapatkan pekerjaan berkualiti, membina rangkaian profesional serta memperoleh panduan langsung daripada pakar industri. Ia sebuah platform yang tidak wajar dilepaskan,” jelas PERKESO.
