
MAHA 2026 dengan tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’
SERDANG,. Majlis Pra Pelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2026 telah disempurnakan kelmarin oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang.
MAHA 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 membawa tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’, yang mencerminkan komitmen Malaysia untuk membangunkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan, berasaskan teknologi dan berimpak tinggi.
Majlis Pra Pelancaran ini berfungsi sebagai platform awal untuk meningkatkan kesedaran, menggalakkan penyertaan serta memperkukuh komitmen rakan strategik, agensi kerajaan, pemain industri dan pihak media dalam usaha menuju penganjuran MAHA 2026 yang lebih berimpak tinggi dan berdaya saing.
Majlis turut menyaksikan pelancaran logo rasmi, sasaran serta maskot MAHA 2026, diikuti sesi pelepasan konvoi Road to MAHA 2026.
Selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0), MAHA 2026 menegaskan komitmen Malaysia dalam memastikan bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan mampan, di samping memacu nilai ekonomi baharu melalui inovasi dan pendigitalan.
Agropelancongan terus diraikan sebagai jambatan yang menghubungkan komuniti dan memperkukuh warisan desa, hasil tempatan serta kepelbagaian budaya Malaysia.
MAHA 2026 menyasarkan untuk menghimpunkan petani, usahawan, pelabur dan penginovasi dalam misi bersama untuk mengembangkan peluang perniagaan dan memacu transformasi sektor pertanian negara.
Pengunjung boleh menantikan pelbagai tarikan menarik termasuk pameran bunga, pameran agroteknologi, fiesta makanan, pertandingan bertema agro, persembahan laser dan air, sukan tradisional, aktiviti rewang warisan, persembahan Rhythm of the Farmers (ROTF), sesi santai kopi, segmen agropreneur muda, kiddies wonderland, agro safari, taman burung dan pelbagai lagi.
MAHA 2026 bakal menjadi platform unggul untuk memperkenalkan teknologi pertanian terkini, produk baharu dan perkhidmatan agromakanan kepada pasaran yang lebih luas, sekali gus membuka peluang besar bagi pengembangan perniagaan dalam sektor pertanian dan agroindustri.
Melalui MAHA 2026, usahawan dan pelabur berpeluang meneroka potensi dagangan, peluang pelaburan, kerjasama, perkongsian teknologi serta pembangunan pasaran import dan eksport.
Pameran ini turut menawarkan ruang pelancaran produk dan perkhidmatan inovatif, seterusnya membuka laluan kepada perkembangan kerjaya dan keusahawanan dalam sektor agro.
Penyertaan dalam MAHA 2026 bukan sahaja membantu perniagaan mengukuhkan jaringan pelanggan sedia ada dan membina hubungan antarabangsa yang strategik, malah memberikan akses awal kepada trend pasaran terkini serta meningkatkan daya saing dalam industri agro.
MAHA 2026 menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung, nilai pemeteraian MoU/MoA sebanyak RM8 bilion, nilai transaksi jualan berjumlah RM58 juta, penglibatan lebih 2,000 pempamer serta penyertaan 800,000 golongan belia sepanjang tempoh penganjuran.
