RPM 2026-2035 pelan komprehensif perkukuh sistem pendidikan negara

RPM 2026-2035 pelan komprehensif perkukuh sistem pendidikan negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) telah memperkenalkan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang menggariskan pelan hala tuju komprehensif bagi memperkukuh sistem pendidikan negara serta melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan kompetensi diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan.

Pelan tersebut diumumkan semasa Sesi Libat Urus Pengurusan bersama Pengamal Media sempena Ramadan 2026 yang berlangsung pada Isnin, 16 Mac 2026 di Pusat Permata Kurnia, Sentul.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam membangunkan kerangka pendidikan yang lebih inklusif, dinamik dan berdaya saing di peringkat global.

Selain itu, Fadhlina turut mengumumkan perancangan penubuhan Majlis Kepimpinan Pelajar (SLC) sebagai platform rasmi untuk pelajar sekolah menyuarakan pandangan serta menyumbang kepada pembentukan dasar pendidikan negara.

“Selepas Aidilfitri, majlis ini akan ditubuhkan dengan perwakilan bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah dari daerah dan negeri. Pandangan mereka akan memberi impak besar dalam membentuk dasar pendidikan negara,” katanya ketika berucap pada sesi libat urus tersebut.

Menurut Fadhlina, RPM memberi penekanan kepada usaha merapatkan jurang pendidikan dalam masyarakat, termasuk aspek akses kepada teknologi dan peluang pembelajaran.

“RPM memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pendidikan supaya semua kanak-kanak mempunyai ruang pembelajaran yang lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan pelaksanaan pelan tersebut tidak akan mengabaikan murid berkeperluan khas, termasuk kanak-kanak autisme, agar mereka tidak tercicir dalam sistem pendidikan arus perdana.
Tambah beliau, ibu bapa juga perlu diberikan maklumat yang tepat bagi membantu mereka memahami serta mengenal pasti keperluan anak-anak.

Menyentuh isu kekurangan guru dan infrastruktur, Fadhlina berkata nisbah semasa masih belum mencapai keadaan ideal apabila seorang guru perlu mengendalikan antara 15 dan 20 pelajar.

“Kerajaan sedang berusaha menambah baik situasi ini melalui pembinaan lebih banyak bilik darjah, penambahan guru serta penyediaan teknologi yang lebih baik di sekolah,” katanya.

Berhubung pendidikan STEM, beliau memaklumkan sasaran nisbah 60:40 antara aliran STEM dan bukan STEM masih belum dicapai selepas lebih enam dekad kemerdekaan, dengan kadar semasa sekitar 52 peratus, manakala enrolmen aliran Sains Tulen hanya kira-kira 13 peratus.

Justeru katanya, kementerian sedang membangunkan pendekatan baharu termasuk mewajibkan sekolah berasrama penuh menawarkan aliran Sains serta memperluaskan inisiatif tersebut ke sekolah aliran agama berpotensi tinggi bagi meningkatkan jumlah graduan STEM negara.

Seiring dengan perkembangan global katanya, RPM turut mengiktiraf bahawa pendidikan masa kini melangkaui penguasaan ilmu semata-mata.

Pelan ini menekankan pembangunan kemahiran pemikiran kritikal, literasi digital dan kebolehsuaian bagi membolehkan pelajar berkembang dalam dunia yang dipacu inovasi teknologi, kecerdasan buatan dan pasaran pekerjaan yang dinamik.

Bagi menyokong matlamat tersebut jelasnya, sekolah akan dinaik taraf dengan kemudahan moden, infrastruktur digital berkelajuan tinggi serta teknologi pembelajaran pintar bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik.

Dalam konteks pemerkasaan guru katanya, pendidik akan diberikan sokongan melalui program pembangunan profesional berterusan, pengurangan beban pentadbiran serta penekanan terhadap kualiti pengajaran dan pembentukan sahsiah pelajar.

“Guru adalah nadi utama transformasi ini dan kami akan menyokong mereka sepenuhnya,” tegasnya.

Pada masa sama katanya, kerjasama menjadi teras penting strategi RPM melalui penglibatan sekolah, ibu bapa, komuniti, pihak industri dan sektor swasta dalam membentuk ekosistem sokongan menyeluruh kepada pelajar.

Pendekatan ini bertujuan memastikan pelajar mendapat pendedahan kepada pengalaman dunia sebenar serta bimbingan yang melengkapi pembelajaran di bilik darjah, katanya.

“Kemampanan turut dijadikan prinsip panduan dengan menggalakkan pelajar membina kesedaran terhadap aspek sosial dan etika serta mengaplikasikan nilai tersebut dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, RPM memberi keutamaan kepada integrasi teknologi dan inovasi dalam sistem pendidikan, termasuk penggunaan kecerdasan buatan dan analitik data bagi mempertingkat pembelajaran, memantau perkembangan pelajar serta meningkatkan kecekapan pengurusan sekolah.

“Penyelarasan antara strategi pendidikan sekolah dan perancangan pendidikan tinggi juga akan memastikan laluan pembangunan bakat yang berterusan dari peringkat sekolah rendah hingga universiti,” katanya.

Melalui pelaksanaan RPM 2026-2035 tambahnya, pelajar dijangka menikmati pengalaman pembelajaran yang lebih seimbang dan relevan, manakala guru memperoleh sokongan profesional yang lebih kukuh dan sekolah berkembang sebagai pusat pembelajaran inklusif serta berteknologi maju.

Menurut Fadhlina, RPM 2026-2035 menekankan usaha merapatkan jurang pendidikan termasuk akses kepada teknologi dan peluang pembelajaran bagi memastikan semua kanak-kanak menikmati ruang pendidikan yang lebih baik.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad ketika menyampaikan pembentangan yang memperincikan objektif dan hala tuju strategik RPM 2026-2035 menekankan peranannya dalam mentransformasikan pendidikan di semua peringkat.

Pembentangan tersebut menjelaskan bahawa pelan itu bertujuan meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar, merapatkan jurang pendidikan serta mempersiapkan generasi muda menghadapi persekitaran global yang semakin berkembang pesat.

Beliau menjelaskan RPM dirangka berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan visi ‘Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera’ serta misi mengekalkan sistem pendidikan berkualiti tinggi yang membangunkan potensi setiap individu secara menyeluruh.

“Tumpuan kami adalah untuk membangunkan potensi setiap pelajar bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga sahsiah, kreativiti dan kemahiran hidup serta membentuk pelajar sebagai warganegara global yang berdaya saing dan beretika,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan RPM dipandu oleh tujuh teras strategik utama, termasuk mengoptimumkan potensi pelajar, mentransformasikan pendidik sebagai profesional berkeupayaan tinggi, memperkukuh infrastruktur fizikal dan digital, meningkatkan kerjasama antara institusi dan pihak berkepentingan, membudayakan kemampanan serta menambah baik kecekapan tadbir urus pendidikan.

“Teras-teras ini dirangka bagi memastikan sekolah kita lebih inklusif dan bersedia menghadapi masa depan,” jelasnya.

Pengenalan RPM 2026-2035 menandakan permulaan dekad transformasi pendidikan Malaysia dengan hala tuju jangka panjang yang jelas untuk memastikan sistem pendidikan negara kekal relevan, kompetitif dan mampu melahirkan warganegara global.

Pelan ini turut mengintegrasikan dasar merentasi pendidikan rendah, menengah dan tinggi selaras dengan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) serta Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM).

Kejayaan pelaksanaan RPM bergantung kepada komitmen bersama kerajaan, pendidik, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta.

Dengan kerjasama kukuh serta sokongan berterusan, pelan ini berpotensi mentransformasikan landskap pendidikan negara sekali gus melahirkan rakyat berilmu, berkemahiran dan bertanggungjawab sosial serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pendidikan di peringkat serantau dan global.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Who dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNIA Datuk Mohd Efendi Omar.

CATEGORIES
Share This