Moto3: Hakim Danish optimis peluang podium masih terbuka

Moto3: Hakim Danish optimis peluang podium masih terbuka

SEPANG,. Pelumba negara Muhammad Hakim Danish Ramli belum mengibarkan bendera putih dalam misi memburu podium musim ini, meskipun terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Pelumba kelahiran Terengganu itu berkata kegagalan menghadiahkan podium kepada penyokong di laman sendiri tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya menjadi pembakar motivasi untuk terus memberikan saingan pada baki tiga perlumbaan musim ini.

“Saya sangat gembira dengan perlumbaan hari ini kerana sudah memberikan segala-galanya. Saya berjuang dari awal hingga akhir dan sudah tentu mahu mendapatkan podium, tetapi terpaksa berpuas hati di tempat keempat.

“Pada selekoh terakhir, saya cuba melakukan pintasan tetapi terbabas sedikit. Bagaimanapun, saya sudah memberikan yang terbaik buat semua penonton, keluarga dan pasukan,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan hari ini.

Hakim Danish berkata kelebihan jentera Honda di litar berkenaan, khususnya di selekoh berkelajuan tinggi, turut memberikan cabaran dalam usahanya mengekalkan kedudukan di kelompok hadapan.

Terdahulu, Hakim Danish yang meraih podium pada GP Itali dan GP Republik Czech mempamerkan tunggangan terbaik, apabila melonjak ke kedudukan kedua selepas memintas pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP David Almansa pada pusingan ke-11.

Bagaimanapun, beliau kehilangan kedudukan itu pada pusingan ke-12 selepas dipintas pelumba Honda Team Asia Veda Pratama dan Almansa.

Peluang untuk meraih podium kembali terbuka pada pusingan terakhir, apabila beliau berjaya memintas kedudukan ketiga dimiliki pelumba Red Bull KTM Ajo Alvaro Carpe di selekoh akhir, namun Carpe kembali merampas kedudukan tersebut.

Mengulas baki saingan musim ini, Hakim Danish percaya peluang untuk menaiki podium masih terbuka, sekali gus bertekad meneruskan perjuangan sehingga perlumbaan terakhir.

“Tahun ini masih ada tiga perlumbaan dan saya percaya bukan mustahil untuk menamatkan saingan di podium atau meraih kemenangan sekali lagi. Saya akan terus berjuang untuk mencapai sasaran itu,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin menyifatkan prestasi dipamerkan Hakim Danish sebagai sesuatu yang membanggakan, meskipun terlepas peluang menaiki podium di SIC, mengikut jejak langkahnya pada 2012.

Beliau berkata, dia sebelum ini yakin pelumba berusia 19 tahun itu mampu merebut podium berdasarkan prestasi ditunjukkan sejak sesi latihan hingga perlumbaan, namun persaingan sengit pada pusingan terakhir menyaksikan hasrat itu tidak kesampaian.

“Secara keseluruhan, minggu ini kita tahu (Hakim) Danish mengawal emosi dan prestasinya dengan baik apabila kita lihat dari awal hingga perlumbaan, dia berada dalam kedudukan kompetitif.

“Semalam saya betul-betul yakin dia boleh berjuang untuk podium, tetapi sudah tentu pusingan terakhir adalah pusingan terakhir dalam Moto3. Kita memang mahukan podium itu, tetapi dia tidak berjaya memintas (Alvaro) Carpe atau (Jose Antonio) Rueda,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This