
Rombakan Kabinet: Enam timbalan menteri “naik pangkat”, satu muka baharu
KUALA LUMPUR,. Enam timbalan menteri dan satu muka baharu diangkat sebagai menteri penuh dalam pelantikan anggota pentadbiran Kerajaan MADANI yang baharu, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media khas mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan 11 portfolio itu memaklumkan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu.
Pelantikan Mohamed Taufiq itu menggantikan penyandangnya Hannah Yeoh yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Enam timbalan menteri yang “dinaikkan pangkat” pula ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Menteri Ekonomi bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustafa Sakmud mengambil tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).
Turut diumumkan ialah pelantikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menggantikan penyandangnya Nik Nazmi Nik Ahmad.
Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan selepas masing-masing gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR dan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti yang diadakan pada Mei lepas.
–BERNAMA
