Kerajaan disaran pantau harga perumahan mampu milik atau mampu sewa- KRI

Kerajaan disaran pantau harga perumahan mampu milik atau mampu sewa- KRI

KUALA LUMPUR : Kerajaan disaran memantau tahap harga perumahan mampu milik atau mampu sewa memandangkan akses perumahan ditentukan oleh kemampuan isi rumah. Pengerusi Khazanah Research Institute (KRI) Tan Sri Nor Mohamaed Yakcop berkata, ketetapan harga yang tinggi serta tidak mampu dibeli atau disewa di pasaran bebas boleh meningkatkan bilangan isi rumah terjerumus ke dalam sektor sosial.

“Laporan KRI 2015 lalu telah memberi bayangan bahawa jika pasaran bebas dibiarkan membina rumah yang mahal sahaja, maka bukan sahaja golongan B40, tetapi juga golongan M40 juga terpaksa mendapat bantuan Kerajaan dari segi akses perumahan. Malangnya, kita melihat fenomena ini sudah pun berlaku,” katanya semasa berucap melancarkan Pelancaran Laporan Kajian Terkini KRI Yang Bertajuk, “Kesejahteraan Kediaman Golongan Miskin Bandar: Kajian Program Perumahan Rakyat (PPR)” di sini pada Rabu.

Ujarnya lagi, bantuan Kerajaan biasanya diberikan apabila harga rumah yang dibekalkan oleh sektor pasaran gagal memenuhi keperluan golongan miskin. “Walau bagaimanapun, apabila bantuan Kerajaan diberikan untuk lebih dari separuh atau hampir keseluruhan penduduk, ini menunjukkan kegagalan penyediaan perumahan yang dipacu oleh pasaran swasta,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu perumahan usang dan tidak berkualiti melibatkan perumahan sosial untuk golongan miskin.

“Lima kompleks Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang KRI kaji, perumahan berada dalam kualiti yang tidak baik kerana pembiayaan yang tidak cukup untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan.
“Kebanyakan bangunan tidak menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan berjadual untuk mengelakkan kerosakan bangunan yang berlarutan. Keadaan ini lebih serius di kompleks yang berkepadatan tinggi,” tambahnya lagi.

Faktor berkenaan katanya memberi kesan kepada kesejahteraan penduduk, selain meningkatkan kos penyelenggaraan kepada mereka. Katanya lagi, sistem perumahan sosial yang komprehensif hendaklah bermula dengan pernyataan objektif dan matlamat.

“Penanda aras antarabangsa untuk dasar perumahan sosial umumnya menyokong beberapa prinsip. Pertama, kesejahteraan kehidupan bagi golongan berkeperluan terutama dalam berdepan isu kos sara hidup pada hari ini.

“Kedua, rumah transit untuk golongan kurang berkemampuan. Ketiga, mampu berinteraksi dengan masyarakat umum dengan kompleks perumahan sentiasa diselenggara dengan baik dan keempat, kestabilan penyewaan,” jelas beliau lagi.

Beliau juga melihat, wujud ‘universal housing que’ yang menyukarkan golongan miskin untuk menduduki perumahan yang baik. “Manakala, mereka yang berada di julat terdekat dengan miskin akan kekal dengan perumahan kualiti rendah di pasaran bebas. Pilihan kediaman yang sangat terhad bagi isi rumah untuk beralih dari sektor sosial pada pasaran bebas,” ujar beliau.

Justeru katanya, Laporan KRI mencadangkan pendekatan menyeluruh perumahan sosial melalui tiga teras dan sembilan saranan polisi, yang merangkumi pengurusan isi rumah, unit perumahan PPR serta pengurusan unit perumahan sektor swasta.

“Langkah itu bagi mengelakkan isi rumah yang beralih dari perumahan sosial daripada tinggal dalam keadaan yang memudaratkan di pasaran bebas,” katanya.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )