Ragbi Malaysia mahu jadi pasukan terbaik Asia

KUALA LUMPUR,. Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) tidak akan terbuai-buai dengan pujian sebaliknya akan melipatgandakan usaha untuk merapatkan jurang dengan tiga pasukan – Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan – agar menjadi antara pasukan terbaik di Asia pada masa akan datang.

Presidennya, Datuk Shahrul Zaman Yahya mengakui bahawa banyak yang perlu dilakukan oleh badan induk itu untuk memastikan pembangunan ragbi Malaysia menjadi setaraf dengan negara-negara berkenaan.

KRM pada Isnin, menerima pujian daripada Presiden Ragbi Asia, Qais Abdulla Al Dhalai, yang menyatakan Malaysia berada di landasan yang betul untuk menjadi kuasa besar ragbi Asia.

“Selepas krisis COVID-19 ini berakhir, kita perlu meneruskan perancangan untuk pembangunan pasukan berprestasi tinggi, kejohanan tempatan dan program pembangunan akar umbi. Kita bakal hadapi cabaran besar selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

“Kita terpaksa mengejar kembali masa yang hilang kerana pandemik ini, kerana kita menyasarkan untuk layak ke Piala Dunia Ragbi pada tahun 2031. Tetapi sebelum itu, kita mahu melihat pasukan tujuh-sebelah kita layak beraksi di Sukan Olimpik.

“Bagaimanapun, kita perlu melihat juga kepada perancangan World Rugby dan Asia Rugby sebelum membuat keputusan kerana hampir seluruh dunia terjejas dengan wabak ini,” kata Shahrul Zaman kepada Bernama pada Rabu.

Beliau berkata KRM juga akan meneruskan semua perancangan dan aktiviti ragbi termasuk Program Pembangunan Ragbi (NRDP) selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Qais Abdulla dalam episod sulung program bual bicara interaktif bertajuk ‘Asia Rugby Live: Real Talk Real Rugby’ yang disiarkan secara langsung di Facebook dan YouTube Ragbi Asia pada Isnin lepas, memuji usaha yang dibuat oleh KRM.

“Kesatuan Ragbi Malaysia di bawah pimpinan Shahrul Zaman, naib presiden Velayuthan Tan dan setiausaha agung, Amrul Hazarin Hamidon, melakukan usaha yang hebat. Mereka mempunyai skuad lelaki dan wanita yang bagus, bertanding pada Divisyen Premier Kejohanan Asia (ARC), Sukan Asia dan SukanSEA.

“Sudah tentu setiap persatuan mempunyai kekangan masing-masing tetapi pada pandangan saya, ketiga-ketiga pegawai berkenaan melaksanakan tanggungjawab dengan baik sekali dan Malaysia berada di landasan yang betul. Apa yang anda harapkan daripada bersaing dalam tiga pasukan utama Divisyen Premier ARC,” katanya ketika menjawab soalan seorang peminat dari Malaysia ketika sesi itu.

Pasukan lelaki negara berada di ranking ke-49 dunia. Jepun muncul pasukan terbaik Asia apabila berada di kedudukan kesembilan dunia, diikuti Hong Kong (22), Korea Selatan (31), Filipina (41) dan Sri Lanka (47).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )