Portal e-Tanah lestarikan perkhidmatan berpaksikan rakyat

Portal e-Tanah lestarikan perkhidmatan berpaksikan rakyat

KUALA LUMPUR,. Portal awam e-Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang diperkenalkan pada 2016 oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian menerusi kerjasama dengan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTG WPKL), terus berperanan melestarikan perkhidmatan berpaksikan rakyat menerusi kepelbagaian khidmat dalam talian.

Menurut Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Muhammad Yasir Yahya, antara perkhidmatan itu adalah urusan pembayaran cukai tanah dan petak, carian persendirian hak milik dan strata, permohonan tanah serta semakan status permohonan menerusi dalam talian.

“Semua perkhidmatan ini juga dapat diakses menerusi ‘Single Point of Contact’ (SPOC) iaitu pusat perkhidmatan setempat dalam sistem e-tanah yang menyediakan kemudahan perkhidmatan pelanggan yang komprehensif kepada orang awam yang berurusan di PPTG WPKL,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Portal Awam e-Tanah WPKL berkenaan juga menyediakan perkhidmatan sistem carian bersepadu dikenali ‘Single Windows Search’ (SWS) secara dalam talian bagi memudahkan dan menjimatkan masa pemohon melaksanakan urusan hartanah di WPKL.

Muhammad Yasir berkata, sebelum SWS diperkenalkan, prosedur itu menetapkan pemohon hadir ke jabatan/agensi terbabit untuk membuat carian maklumat hak milik (PPTG WPKL), status kebankrapan (Jabatan Insolvensi) dan maklumat syarikat (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) secara berasingan.

“Susulan pengenalan perkhimdatan SWS ini, urusan orang awam bagi pencarian ketiga-tiga maklumat berkenaan kini kian mudah, lebih pantas tanpa perlu hadir secara fizikal ke premis jabatan ini manakala maklumat yang diperoleh juga adalah serentak,” katanya.

Perkhidmatan SWS ini juga dapat mengurangkan jumlah prosedur bagi pendaftaran hartanah di Kuala Lumpur daripada lapan kepada lima prosedur.

Menurut Muhammad Yasir, inisiatif ini berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan ke-33 daripada 190 buah negara dalam Laporan ‘Ease of Doing Business 2020’ oleh Bank Dunia bagi indikator pendaftaran hartanah dan mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi tempat pertama kategori perkhidmatan awam menerusi ASEAN ICT Award pada 2018.

“Keupayaan sistem e-Tanah WPKL akan terus dipertingkat melalui pelaksanaan Pembentangan dan Pendaftaran Secara Dalam Talian (Online Presentation & Registration) yang mana serahan dan pendaftaran urus niaga tanah itu bakal dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menjelang tahun 2021,” kata beliau.

Sistem e-Tanah yang dilaksanakan secara berfasa, merangkumi sembilan modul utama meliputi keseluruhan urusan pentadbiran tanah seperti pelupusan tanah, pembangunan tanah, pendaftaran hak milik, kebenaran pindahan, urus niaga dan bukan urus niaga, pengambilan tanah, lelongan awam serta pungutan hasil tanah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )