Malaysia dipilih terajui kumpulan Metrologi Perundangan Asia Pasifik

Malaysia dipilih terajui kumpulan Metrologi Perundangan Asia Pasifik

SHAH ALAM,. Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), makmal pengukuran yang dikendalikan SIRIM Bhd telah dilantik sebagai Presiden dan Sekretariat Forum Metrologi Perundangan Asia Pasifik (APLMF) untuk tempoh dua tahun.

“Pelantikan baharu ini akan menjadikan Malaysia sebagai negara membangun pertama dan dari rantau ASEAN yang diberi mandat, antara lain, untuk menguruskan sekretariat, mengatur mesyuarat tahunan dan menyokong pelaksanaan program kerja APLMF,” menurut NMIM dalam satu kenyataan semalam.

Menurut NMIM, APLMF adalah kumpulan pihak berkuasa metrologi perundangan yang berperanan membangunkan metrologi perundangan selain untuk menggalakkan perdagangan bebas dan terbuka di rantau Asia Pasifik melalui penyelarasan serta penghapusan halangan teknikal atau pentadbiran untuk perdagangan dalam bidang metrologi undang-undang.

APLMF ditubuhkan pada November 1994, dengan 14 negara anggota dari rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) iaitu Australia, Kanada, China, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, New Zealand, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, Taipei, Thailand dan Amerika Syarikat.

Badan itu kini mempunyai 27 negara anggota.

NMIM yang berfungsi di bawah Akta Sistem Pengukuran Nasional 2007 (Akta 675), berperanan sebagai penjaga di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71).

NMIM menyebarkan kebolehkesanan pengukuran ke seluruh negara berdasarkan Sistem Unit Antarabangsa dan mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan infrastruktur metrologi nasional memenuhi dan mematuhi standard pengukuran global.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )