PM Anwar bawa Macron bersiar-siar di Petaling Street, lawat tokong dan kuil

PM Anwar bawa Macron bersiar-siar di Petaling Street, lawat tokong dan kuil

KUALA LUMPUR,. Di sebalik jadual padat lawatan rasmi ke Malaysia, Presiden Perancis Emmanuel Macron hari ini berpeluang menikmati suasana ibu kota apabila dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersiar-siar di sekitar kawasan Petaling Street di sini.

Kedua-dua pemimpin tiba di kawasan berhampiran Chinatown itu kira-kira 2 petang, diiringi delegasi dan pegawai kanan kerajaan kedua-dua negara serta kawalan keselamatan.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Dalam kunjungan santai kira-kira 30 minit itu, Anwar dan Macron berjalan kaki menyusuri deretan kedai sambil meninjau aktiviti perniagaan serta suasana di kawasan yang menjadi antara tumpuan pelancong di ibu negara.

Kedua-dua pemimpin turut melawat Tokong Guan Di dan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, dua rumah ibadat bersejarah yang terletak berhampiran antara satu sama lain di Jalan Tun H.S Lee.

Anwar turut dilihat memberikan penerangan kepada Macron mengenai keunikan kepelbagaian budaya, produk tempatan serta sejarah kawasan perniagaan itu.

Kedua-dua pemimpin juga sempat melambai dan beramah mesra dengan orang ramai serta pelancong asing yang berada di sekitar kawasan tersebut.

Kunjungan santai itu merupakan antara pengisian lawatan rasmi Macron ke Malaysia bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Lawatan itu merupakan kunjungan rasmi pertama Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Presiden Perancis pada Mei 2017.

Perancis merupakan rakan dagang kesepuluh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU), dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah €4.7 bilion (kira-kira RM21.23 bilion) pada 2025, meningkat 11 peratus berbanding 2024.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This