35,555 KENDERAAN DISITA KERANA CUKAI JALAN TAMAT TEMPOH SEJAK 2023 – MOT

35,555 KENDERAAN DISITA KERANA CUKAI JALAN TAMAT TEMPOH SEJAK 2023 – MOT

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 35,555 kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 2023 sehingga kini kerana menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan yang telah tamat tempoh.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan dalam tempoh sama, sebanyak 1,608,238 Notis P22 iaitu notis saman berkaitan LKM tamat tempoh turut dikeluarkan kepada pengguna yang memandu kenderaan dengan LKM tidak sah.

Menurut kementerian itu, pelaksanaan pendigitalan LKM mulai 10 Feb 2023 bertujuan menyokong agenda pendigitalan negara, mengurangkan kos percetakan serta kesesakan di kaunter selain memudahkan pengguna memperbaharui cukai jalan secara digital menerusi aplikasi MyJPJ dan saluran lain.

“e-LKM ini secara dasarnya bagi menyokong hasrat pendigitalan negara dan dalam masa yang sama bertujuan mengurangkan kos kerajaan untuk cetakan LKM, mengurangkan kesesakan pengguna di kaunter serta menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk memperbaharui LKM secara digital melalui aplikasi MyJPJ dan saluran-saluran digital yang lain,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung statistik kenderaan yang disita kerana gagal memperbaharui cukai jalan sejak dasar pemilik kenderaan tidak lagi perlu mempamerkan LKM.

Menurut MOT, walaupun pengguna tidak lagi diwajibkan mempamerkan cetakan LKM pada kenderaan, pemilik masih bertanggungjawab memastikan lesen berkenaan diperbaharui dan sentiasa sah.

Status LKM boleh disemak secara digital oleh pihak penguat kuasa menerusi sistem JPJ manakala tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya kenderaan digunakan di jalan raya dengan LKM yang telah tamat tempoh.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This