Perbicaraan adil dan telus kepada penjawat awam, elak penganiayaan – Cuepacs

Perbicaraan adil dan telus kepada penjawat awam, elak penganiayaan – Cuepacs

KUALA LUMPUR,. Perbicaraan yang adil dan telus harus diberikan kepada setiap rakyat termasuk penjawat awam bagi memastikan tidak wujud unsur penganiayaan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat.

Adnan berkata demikian mengulas mengenai penahanan 18 pegawai serta anggota polis dan tentera kerana disyaki terlibat dengan kegiatan menjual maklumat kepada sindiket penyeludupan pendatang asing dan dadah di Johor, dalam operasi sejak tiga hari lepas.

“Walaupun ditahan, perkara ini tidak membuktikan mereka bersalah sebelum mahkamah membuktikan mereka memang bersalah. Beri ruang kepada pihak berkuasa untuk jalankan tugas.

“Bagaimanapun, Cuepacs tidak akan melindungi individu (penjawat awam) yang terlibat dengan perbuatan melanggar undang-undang negara. Hukuman setimpal wajar dikenakan sekiranya individu ini terlibat dengan kegiatan yang dilarang terutama melibatkan soal kedaulatan dan kerahsiaan negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini berkata 18 pegawai dan anggota keselamatan yang ditahan itu dipercayai sanggup menjual maklumat kepada sindiket penyeludupan pendatang asing dan dadah di negeri itu demi bayaran RM500 hingga RM1,000 sebulan.

Adnan berkata selain hukuman dan denda, penjawat awam yang terlibat dengan mana-mana aktiviti melanggar undang-undang boleh digantung tugas, dibuang atau ditamatkan daripada perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata jika perkara tersebut berlaku mereka tidak lagi mendapat apa-apa keistimewaan yang diperoleh sebagai penjawat awam termasuk kemudahan pencen.

Katanya Cuepacs berharap orang ramai tidak menjadikan beberapa kes terpencil yang membabitkan penjawat awam terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang dengan memberikan tanggapan negatif terhadap seluruh perkhidmatan awam.

“Ia adalah sesuatu yang tidak adil bagi penjawat awam lain yang telah mencurahkan segala keringat dan bakti demi negara dan rakyat. Berikanlah kepercayaan anda kepada semua warga penjawat awam dalam melaksanakan tugas masing-masing serta menjaga ketenteraman negara,” katanya.

Adnan berkata semua penjawat awam harus sedar dan sentiasa mengingati prinsip atau ikrar sebagai penjawat awam yang perlu berkhidmat untuk rakyat dan negara serta menjadi contoh kepada masyarakat dalam mematuhi setiap peraturan dan undang-undang negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )