Hampir dua minggu tidur dalam kereta, keluarga dapat bantuan orang ramai

Hampir dua minggu tidur dalam kereta, keluarga dapat bantuan orang ramai

KUALA LUMPUR,. Selepas hampir dua minggu terpaksa menjadikan kereta usang sebagai tempat berteduh, Grace Edward dan keluarga kini boleh menarik nafas lega apabila dapat menyewa rumah baharu di Puchong, dekat sini, sejak Isnin lepas, hasil keprihatinan dan sumbangan orang ramai.

Grace, 37, seorang suri rumah, melahirkan rasa syukur dengan bantuan itu, malah suaminya, Kumar Subramaniam, 37, yang sebelum ini diberhentikan kerja sebagai mekanik juga telah ditawarkan kerja di bengkel kereta berhampiran dengan kediaman yang disewanya itu.

Katanya, ketika mereka sekeluarga dihimpit kesusahan, masih ramai yang peduli dan membantu sehinggakan wang sumbangan yang diterima membolehkannya membayar deposit rumah sewa selain melangsaikan hutang lama dan membeli keperluan asas rumah.

“Saya tidak terfikir akan dapat rumah ini (menyewa) secepat mungkin. Saya amat gembira dan sudah tidak ada lagi perasaan ketakutan apabila tidur dalam kereta hampir dua minggu.

“Pada awalnya saya fikir mungkin bantuan biasa sahaja, tapi rakyat Malaysia sungguh luar biasa. Saya terharu dengan sokongan dan berterima kasih kepada semua yang menyumbang, tidak tahu bagaimana saya mahu membalasnya,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, kisah Grace mendapat perhatian apabila beliau dan sekeluarga diusir oleh penyewa rumah lama kerana tidak mampu lagi membayar sewa bulanan dan terpaksa menjadikan kereta Proton Saga Aeroback sebagai kediaman sementara menantikan bantuan.

Anak jati Puchong itu juga tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga anak lelaki tunggalnya, Sriitharan Kumar, 6, selain menjaga ibunya yang menderita sakit buah pinggang dan mempunyai gejala long COVID.

Sebelum itu, majikan suaminya terpaksa memberhentikannya kerana dia tidak boleh lagi bekerja dalam tempoh yang lama selain tidak boleh melakukan kerja berat kesan daripada kemalangan motosikal dua tahun lalu.

Bercerita lanjut mengenai perancangannya, Grace berkata dengan wang lebihan daripada sumbangan yang terkumpul itu, beliau mengimpikan untuk menjual nasi lemak dengan mengedarnya di kedai makan di sekitar Puchong.

“Selepas urusan perpindahan masuk ke rumah ini selesai, saya akan mulakan impian saya itu. Saya juga akan hantar anak ke sekolah,” katanya yang berhasrat memiliki sebuah lagi kereta supaya memudahkan pergerakan beliau kelak ketika berniaga.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )