Pejuang akan hadir sidang Parlimen untuk lihat bagaimana ia manfaatkan rakyat – Dr Mahathir

Pejuang akan hadir sidang Parlimen untuk lihat bagaimana ia manfaatkan rakyat – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR,. Ahli Parlimen daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan menghadiri persidangan khas Parlimen yang akan berlangsung 26 Julai sehingga 2 Ogos ini, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun berkata Ahli Parlimen parti itu akan menghadiri sekurang-kurangnya pada permulaan sesi sidang khas Parlimen bagi memastikan ia bukan sekadar pemberian taklimat oleh kerajaan mengenai dasar yang diperkenalkan.

“Kami akan hadir di perjumpaan ini di Dewan Rakyat tetapi kami akan lihat sama ada ia akan bawa manfaat atau tidak kepada rakyat yang kini sedang menderita.

“Jika kita dapati ini hanyalah penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan dan hanya taklimat, kita boleh membuat keputusan pada masa itu untuk meninggalkan Dewan Rakyat.

“Kami belum memutuskan sepenuhnya perkara ini lagi kerana kami mahu melihat bagaimana kerajaan menjalankan mesyuarat itu,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Sidang khas Parlimen akan berlangsung lima hari mulai 26 Julai ini.

Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Ahli Parlimen boleh meminta penjelasan dan memberikan pandangan mereka pada persidangan khas itu.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada semua Ahli Parlimen menerusi notis pemberitahuan sidang khas bertarikh 15 Julai.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )