Liga Juara-Juara ditamatkan di Lisbon

Liga Juara-Juara ditamatkan di Lisbon

PARIS,. Liga Juara-Juara 2019-2020 yang digantung sejak Mac kerana pandemik COVID-19 akan dilengkapkan menerusi format ‘lapan terakhir’ di Lisbon pada Ogos kata UEFA, awal pagi tadi.

Kejohanan utama Eropah itu akan ditentukan dengan siri satu perlawanan bermula suku akhir di ibu kota Portugal itu pada 12 Ogos manakala final pada 23 Ogos kata badan induk bola sepak Eropah itu selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif mereka.

Liga Europa juga akan dilengkapkan dengan ‘lapan terakhir’ di empat bandaraya Jerman manakala final di Cologne pada 21 Ogos.

Liga Juara-Juara Wanita juga akan berlangsung menerusi lapan pasukan terakhir akan ke pusingan kalah mati di Bilbao dan San Sebastian, Sepanyol bermula 21-30 Ogos.

“Bola sepak semakin menghampiri kehidupan normal di Eropah,” kata Presiden UEFA, Aleksander Ceferin namun menyatakan masih belum pasti sama ada penonton dibenarkan melihat pertandingan.

Kejohanan seluruh Eropah kini berlangsung secara tertutup kerana peraturan kesihatan ketat dan Ceferin berkata tiada keputusan dibuat sama ada membenarkan penonton “sehingga pertengahan Julai.”

“Jika saya menjawabnya hari ini, kami rasa tidak akan ada penonton di Liga Europa dan Liga Juara-Juara pada suku akhir, separuh akhir dan final, tapi banyak perkara berubah dengan cepat,” katanya. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )