
PARLIMEN PERLU AMBIL KIRA CABARAN DEMOGRAFI DALAM PERUNTUKAN BELANJAWAN DAN DASAR – JOHARI
KUALA LUMPUR,. Parlimen perlu mengambil kira cabaran demografi seperti peningkatan populasi warga emas, saiz keluarga yang semakin mengecil dan perubahan keperluan antara generasi dalam menggubal undang-undang, menentukan belanjawan serta merangka dasar yang bersesuaian, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata isu kependudukan dan pembangunan akhirnya menjadi persoalan politik kerana keutamaan rakyat perlu dizahirkan melalui perundangan, institusi serta perbelanjaan kerajaan.
“Kata-kata mencetuskan perhatian. Perhatian mewujudkan tekanan. Tekanan membentuk keutamaan dan keutamaan akhirnya diterjemahkan melalui undang-undang, institusi serta belanjawan,” katanya berucap pada majlis makan malam yang dianjurkan untuk peserta Persidangan Tahunan Forum Ahli Parlimen Asia mengenai Kependudukan dan Pembangunan (AFPPD) 2026 di sini.
Hadir sama Menteri Kerja Raya merangkap Presiden AFPPD Malaysia Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan timbalannya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How.
Johari berkata beliau berbesar hati kerana penuaan, satu isu yang sering menjadi bahan kritikan atau spekulasi dalam kalangan ahli politik, kini diberi perhatian sewajarnya dalam agenda dasar menerusi persidangan berkenaan.
