
PANDANGAN PENGAMPUNAN NAJIB DIBERI SECARA JUJUR – HANNAH
PUTRAJAYA,. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menjelaskan pandangan yang dberikannya mengenai permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 11 Sept lepas dibuat selepas meneliti pendapat bertulis Peguam Negara.
Hannah yang juga anggota Lembaga Pengampunan berkata pandangan itu diberikan secara jujur dan berterus-terang, berlandaskan hati nurani.
“Saya telah menyatakan pandangan dengan jujur dan berterus terang, berlandaskan hati nurani saya demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkenaan dengan penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu.
Hannah berkata pandangan itu diberikan atas kapasiti beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.
Pada masa sama, beliau berkata selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa dan keputusan muktamad mengenai perkara itu terletak pada Yang di-Pertuan Agong.
“Tentunya, selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Negara, kuasa dan keputusan muktamad terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong termasuk untuk menangguhkan apa-apa keputusan mengenai pengampunan Najib,” katanya.
Semalam, media melaporkan sebarang penjelasan dan persoalan berhubung penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu perlu dirujuk kepada Hannah,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata beliau bukan menteri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Pengampunan, sebaliknya Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) yang berada bawah tanggungjawabnya hanya berperanan sebagai sekretariat.
Pada 11 Sept lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
— BERNAMA
