MCA tangguh Kejohanan T20 Super Series

MCA tangguh Kejohanan T20 Super Series

KUALA LUMPUR,. Persatuan Kriket Malaysia (MCA) menangguhkan kejohanan T20 Super Series dan sesi latihan pemain kebangsaan akan disambung semula sebaik sahaja tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa bermula hari ini.

Kejohanan T20 Super Series yang telah berlangsung bermula 15 Sept hingga 20 Okt itu adalah kejohanan utama kriket 20-over domestik dan kini berbaki hanya empat perlawanan sahaja lagi, melibatkan penyertaan empat pasukan – Central Smashers, Western Warriors, Northern Strikers dan Southern Hitters.

Ketua Pegawai Operasi MCA Dinesh Muthuraman memberitahu Bernama bahawa kira-kira 60 pemain tempatan termasuk dua pemain wanita dalam setiap pasukan serta 20 pemain luar negara menyertai kejohanan itu.

Mengenai sesi latihan skuad kebangsaan, Dinesh berkata pemain akan meneruskan rehat dan latihan aktif melalui aplikasi Zoom dalam tempoh PKPB.

“Kami sepatutnya memberikan tempoh berehat selama 10 hari kepada pemain selepas kejohanan berakhir tetapi dengan perkembangan terbaru ini, kami telah membawanya ke hadapan.

“Jadi, sebaik sahaja kejohanan berakhir, pasukan lelaki akan meneruskan program kecergasan mereka, sementara pasukan wanita akan meneruskan program kecergasan dan latihan di padang,” katanya.

Beliau berkata MCA telah merancang untuk mengambil bahagian dalam lapan kejohanan pada tahun depan tetapi bergantung pada situasi pandemik COVID-19 dan arahan kerajaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )