FAM terima keputusan status Liga-M 2020

FAM terima keputusan status Liga-M 2020

KUALA LUMPUR,. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini menerima keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang antara lain membincangkan mengenai status perjalanan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.

Keputusan itu disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu pertemuan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Reezal Merican turut menyampaikan nasihat berdasarkan keputusan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, sebagai rujukan buat FAM dan MFL.

Perkembangan terbaharu yang dinanti-nantikan peminat bola sepak tempatan itu dikongsikan Reezal Merican dalam akaun Twitter rasminya, @reezal_merican.

“Telah berjumpa dengan Presiden FAM dan CEO MFL pada hari ini untuk menyampaikan nasihat dan keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang telah dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan pada hari ini sebagai rujukan buat FAM dan MFL,” menurut ciapan itu.

Bagaimanapun, maklumat menyeluruh mengenai keputusan mesyuarat itu tidak dinyatakan.

Semalam, Ismail Sabri mengesahkan pihaknya telah menerima permohonan rasmi daripada FAM bagi mendapatkan pandangan dan kelulusan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dipatuhi, bagi membolehkan saingan Liga-M 2020 diteruskan.

FAM dan MFL menangguhkan semua aktiviti bola sepak di bawah kelolaan mereka sejak 16 Mac lepas susulan penularan COVID-19 selain untuk mematuhi penguatkuasaan PKP.

Beberapa negara antaranya Korea Selatan, Itali dan Jerman yang mempunyai jumlah kes jangkitan COVID-19 lebih tinggi berbanding Malaysia, telah mula memberi kelonggaran kepada aktiviti bola sepak profesional di negara masing-masing.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )