
MALAYSIA TEKAD TINGKAT KERJASAMA GLOBAL TANGANI KRISIS IKLIM – ANWAR
SERDANG,. Malaysia akan terus memperkukuh hubungan diplomatik dengan kuasa besar dunia dan negara anggota ASEAN bagi memastikan kemajuan yang dicapai akhirnya memberikan manfaat langsung kepada rakyat, khususnya golongan petani, peladang dan pesawah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan baik dengan negara seperti Amerika Syarikat, China dan Australia adalah penting bagi memastikan Malaysia dianggap sebagai sebuah negara yang stabil dan mampu membela nasib rakyatnya.
Beliau berkata cabaran global seperti krisis iklim kini memerlukan kerjasama antarabangsa yang lebih erat memandangkan kesannya telah mula mengancam sektor pertanian serta keterjaminan makanan.
Berkongsi perbincangan dengan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Al Gore baru-baru ini, Anwar berkata antara perkara yang dibincangkan ialah krisis iklim global, transisi tenaga oleh Malaysia serta situasi jerebu di Serian, Sarawak yang memaksa darurat diisytiharkan.
“Dunia ini tidak dapat sentiasa terkawal. Peningkatan krisis iklim seperti pencairan glasier di Himalaya yang menyebabkan banjir besar di Nepal sehingga meragut begitu banyak nyawa dan keselamatan bukan saja rakyat Nepal, tetapi termasuk rakyat Malaysia.
“Itu hal-hal yang kita tidak boleh duga. Tetapi, hal-hal yang mampu kita rancang dengan baik, kita harus lakukan. Sebab itu transisi tenaga kita lakukan. Kebergantungan pada bahan api fosil dan arang batu kita kurangkan,“ kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, hari ini.
— BERNAMA
