
JENDELA DIUBAH SUAI, TEKNOLOGI ALTERNATIF SASAR 100 PERATUS LIPUTAN INTERNET – FAHMI
KUALA LUMPUR,. Pelaksanaan Inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) sedang diubah suai dengan memanfaatkan teknologi alternatif seperti pemasangan Starlink dan sel kecil dalam usaha mencapai sasaran 100 peratus liputan Internet di kawasan berpenduduk.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pengubahsuaian strategi itu disokong peruntukan RM5 bilion bagi tempoh beberapa tahun bagi memastikan kawasan pedalaman yang sukar diakses tidak lagi tercicir.
“Mungkin bukan semua tempat kita akan pasang menara (telekomunikasi). Setengah tempat kita akan pasang Starlink, setengah tempat kita akan pasang sel kecil, cukup untuk 40 hingga 50 orang yang tinggal di kawasan itu tetapi isunya kita hendak pastikan 100 peratus dapat disediakan di kawasan berpenduduk, termasuk di kawasan yang paling pedalaman.
“Untuk membina satu menara kosnya tinggi, jadi kita buat yang lebih sesuai untuk komuniti itu. Apabila komuniti itu membesar, semakin besar dan kita boleh tukar teknologinya kemudian,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan temu bual bertajuk “Belanjawan 2027: Rapatkan Jurang Digital, Pacu Ekonomi Kreatif” terbitan Agenda AWANI malam ini.
Beliau berkata liputan Internet di kawasan berpenduduk ketika ini telah mencecah 99 peratus dan baki satu peratus tersebut memerlukan kaedah penyelesaian yang lebih praktikal serta bersesuaian dengan saiz komuniti setempat.
“Selain itu, kita nampak kita ada masalah. Kalau kita pergi ke banyak rancangan Felda, dalam rancangan Felda itu okey, cantik liputannya tetapi kalau kita keluar, masuk ke jalan, jalan utama yang menghubungkan skim rancangan itu dengan pekan kadang-kadang banyak daripada jalan ini tidak ada talian (liputan).
“Ini agak bahaya, jadi JENDELA akan fokus untuk melengkapkan kawasan-kawasan seperti itu,” katanya.
Selain kawasan penempatan terpencil, Fahmi berkata penstrukturan semula inisiatif JENDELA turut menyaksikan anjakan paradigma daripada sekadar memberi tumpuan kepada Liputan Kawasan Berpenduduk (COPA) kepada Liputan Kawasan Ekonomi.
Beliau berkata ketersambungan menyeluruh itu turut diperkukuh dengan peruntukan RM142 juta bagi memperkasakan 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.
Fahmi berkata infrastruktur Internet berkelajuan tinggi yang disediakan kerajaan perlu bergerak seiring dengan tahap literasi digital dan kesedaran keselamatan yang tinggi dalam kalangan rakyat bagi membendung ancaman jenayah siber serta penipuan dalam talian.
Dalam pada itu, Fahmi berkata sektor ekonomi kreatif atau ekonomi jingga mempunyai potensi luar biasa untuk muncul sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata sumbangan sektor itu yang dilaporkan menjana 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) membuktikan keupayaan besarnya sebagai aset ekonomi berdaya maju tinggi khususnya dalam sektor animasi, permainan dalam talian dan perfileman.
“Daripada belanjawan ini, pembentukan Majlis Ekonomi Jingga dan tahap pertumbuhan sektor tertentu, dalam bidang ekonomi kreatif ini, insya-Allah masa depan bagi sektor ini sangat-sangat cerah.
“Ia adalah satu bahagian yang besar dalam ekonomi negara dan kita lihat antara sektor yang paling rancak ada pertumbuhan, perkembangan dan paling mudah untuk dieksport adalah sektor seperti filem animasi dan permainan dalam talian, e-sukan antara lain,” katanya.
Fahmi berkata Malaysia merupakan antara negara yang paling rancak dalam sektor animasi, malah menjadi pusat untuk menyiapkan animasi bagi negara-negara luar.
Beliau turut berkongsi kejayaan lima syarikat animasi Malaysia yang menyertai festival animasi berprestij dunia di Annecy, Perancis baru-baru ini yang berjaya membawa pulang pelaburan melebihi RM250 juta atas usaha mereka dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
— BERNAMA
