Malaysia sasar jadi peneraju pembungkusan termaju AI

Malaysia sasar jadi peneraju pembungkusan termaju AI

KUALA LUMPUR,. Malaysia sedang mempergiat usaha untuk beralih daripada peneraju dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan (ATP) kepada peneraju dalam pembungkusan termaju sejajar dengan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) yang membentuk semula industri semikonduktor global.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, berkata pembungkusan termaju yang disokong oleh seni bina chiplet dan integrasi heterogen kini semakin menjadi teras kepada penskalaan pengkomputeran AI.

Menurut beliau, perkembangan itu meletakkan Malaysia secara langsung dalam fasa pertumbuhan industri semikonduktor seterusnya.

Beliau berkata ekosistem semikonduktor sedia ada di Pulau Pinang, Kulim dan Lembah Klang yang kini menempatkan lebih 50 syarikat semikonduktor multinasional menyediakan laluan jelas untuk negara beralih kepada pembuatan generasi baharu.

“Infrastruktur sedia ada meletakkan kami secara langsung dalam laluan peralihan ini dan kami berhasrat untuk melabur dengan sewajarnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Forum Tinjauan Pasaran dan Industri sempena SEMICON Asia Tenggara 2026 di sini, pada 6 Mei lalu.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata industri semikonduktor global kini menghampiri nilai satu trilion dolar AS dengan perolehan dijangka meningkat daripada kira-kira AS$790 bilion pada 2025 kepada AS$975 bilion pada 2026.

Beliau berkata semikonduktor kini bukan lagi sekadar input industri yang bersifat kitaran, sebaliknya menjadi infrastruktur strategik yang dibincangkan seiring dengan keterjaminan tenaga dan makanan.

Katanya, AI kekal sebagai pemacu terbesar pertumbuhan industri apabila pemecut AI, memori jalur lebar tinggi dan pusat data yang menyokong teknologi itu dijangka menyumbang kepada sebahagian besar pertumbuhan semikonduktor hingga penghujung dekad ini.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kedudukan strategik Asia Tenggara yang berada di landasan untuk menguasai 25 peratus kapasiti ATP global menjelang 2032.

Beliau menyifatkan kitaran semikonduktor semasa sebagai “bukan kitaran biasa” kerana pemulihan pada 2025 didorong terutamanya oleh permintaan berkaitan AI dan kenaikan harga.

“Pelabur yang membina kapasiti semasa fasa pembetulan pasaran yang lepas merupakan mereka yang berada pada kedudukan terbaik hari ini. Pendirian dasar Malaysia adalah untuk menyokong firma yang bersedia mengambil pandangan jangka panjang tersebut,” katanya.

Sikh Shamsul Ibrahim mengakui sebahagian besar asas semikonduktor Malaysia masih tertumpu kepada segmen industri tradisional yang dijangka berkembang lebih perlahan berbanding teknologi termaju berkaitan AI.

“Tanpa pergerakan yang lebih pantas dalam rantaian nilai, pertumbuhan hasil kita akan ketinggalan berbanding pasaran yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM426.7 bilion pada 2025, termasuk RM131.3 bilion dalam sektor pembuatan dan RM28.5 bilion dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Pada masa sama, katanya, Indeks Peluang Global 2026 oleh Institut Milken meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara.

Bagi memperkukuh kedudukan negara, beliau berkata Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) menyasarkan latihan kepada 60,000 jurutera berkemahiran tinggi selain membangunkan sekurang-kurangnya 10 syarikat Malaysia bertaraf serantau atau global dalam bidang reka bentuk dan pembungkusan termaju.

Selain itu, NSS turut menyasarkan peningkatan penguasaan pasaran semikonduktor global Malaysia kepada 14 peratus menjelang 2029.

Beliau berkata strategi itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan kepakaran lebih mendalam dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) dan semikonduktor tenaga melalui taman reka bentuk disokong kerajaan di Selangor dan Pulau Pinang, akses bersubsidi kepada alatan reka bentuk serta kerjasama industri.

Sikh Shamsul Ibrahim turut menyentuh kemudahan Infineon di Kulim, Kedah yang disasarkan menguasai sebahagian besar pasaran tenaga silikon karbida global menjelang akhir dekad ini sebagai hab penting dalam rantaian bekalan elektrifikasi automotif.

Beliau berkata Rangka Kerja Insentif Baharu akan menyediakan sokongan lebih bersasar dan berasaskan hasil bagi pelaburan yang mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, mengukuhkan hubungan rantaian bekalan tempatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi lebih kompleks dalam jangka panjang.

Bagi sektor semikonduktor, katanya, rangka kerja itu merangkumi sokongan khusus untuk pembungkusan termaju, reka bentuk IC, proses peringkat wafer dan pembuatan peralatan.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia juga sedang memperkukuh ekosistem pembekal domestik menerusi program pembangunan vendor yang lebih tersusun termasuk Program Pembangunan Vendor Infineon bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan meningkatkan keupayaan serta menyertai rantaian bekalan global.

“Kami mahu syarikat Malaysia menjadi lebih daripada sekadar vendor. Kami mahu mereka menjadi rakan kerjasama dalam reka bentuk dan penyampaian teknologi yang akan menjadi sandaran industri ini bagi dekad yang akan datang,” katanya.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata perkembangan geopolitik termasuk kawalan eksport, rejim tarif dan semakan pelaburan dijangka terus mempengaruhi industri semikonduktor sepanjang dekad akan datang apabila syarikat global meningkatkan fleksibiliti dalam rantaian bekalan masing-masing.

Beliau berkata tenaga kini turut menjadi faktor semakin penting dalam keputusan pelaburan semikonduktor berikutan pusat data AI dan pembuatan semikonduktor memerlukan penggunaan elektrik yang lebih tinggi di seluruh dunia.

“Akses kepada tenaga yang stabil, berharga kompetitif dan semakin hijau kini menjadi penentu utama dalam pemilihan lokasi.

“Perjanjian pembelian tenaga solar jangka panjang STMicroelectronics di Johor dan pengembangan Sarawak di Sama Jaya merupakan petunjuk utama. Bersama-sama dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), ia memperluas lagi jejak semikonduktor Malaysia,” katanya.

–Bernama

CATEGORIES
Share This