
MALAYSIA PERLU PERKUKUH ASAS PASARAN UNTUK KEKAL KOMPETITIF – AMIR HAMZAH
KUALA LUMPUR,. Selain menerima pakai teknologi baharu, Malaysia perlu memperkukuh asas pasaran, meningkatkan kecekapan dan memperluas akses kepada modal untuk memastikan pasaran kewangan dan modalnya kekal kompetitif, berdaya tahan dan relevan.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerjasama erat antara pengawal selia, institusi kewangan, penyedia infrastruktur pasaran, pelabur institusi, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pengurus aset dan sektor korporat mencerminkan komitmen bersama terhadap masa depan kewangan Malaysia.
“Penyertaan pihak berkepentingan pasaran kewangan memberikan petunjuk keyakinan yang jelas terhadap pasaran kita serta aspirasi bersama untuk membangunkan ekosistem kewangan yang moden, dinamik dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya dalam ucaptama pada acara anjuran CIMB Group Holdings Bhd di sini.
CIMB hari ini melancarkan penyelesaian deposit bertoken pertama di Malaysia untuk sukuk bertoken.
Acara itu turut menampilkan perbincangan panel bertajuk ‘Beyond Digitalisation – How Will Malaysia Win?’, yang membincangkan peluang dan keupayaan negara dalam landskap kewangan yang semakin banyak menggunakan teknologi digital.
— BERNAMA
