MALAYSIA, PAKISTAN TEROKA KERJASAMA PERDAGANGAN DAN PASARAN BAHARU SEKTOR PERTANIAN

MALAYSIA, PAKISTAN TEROKA KERJASAMA PERDAGANGAN DAN PASARAN BAHARU SEKTOR PERTANIAN

PUTRAJAYA,. Malaysia dan Pakistan meneroka potensi kerjasama perdagangan serta pembukaan pasaran baharu bagi komoditi pertanian dan makanan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dibincangkan dalam pertemuan Ketua Setiausahanya Datuk Seri Isham Ishak dengan Ketua Setiausaha Keterjaminan Makanan dan Penyelidikan Kebangsaan Pakistan Amer Ali Ahmed, semalam.

Menurut KPKM, pertemuan kali pertama itu turut membincangkan aliran eksport dan import pelbagai komoditi pertanian dan ternakan termasuk beras, produk daging dan unggas serta produk ruminan dengan penekanan terhadap pematuhan piawaian Sanitari dan Fitosanitari (SPS) yang ditetapkan.

“Selain komoditi makanan asas, ruang penerokaan pasaran turut diperluas kepada pembekalan produk gelatin halal serta pemasaran vaksin haiwan berasaskan keupayaan penyelidikan dan pengalaman perdagangan antarabangsa sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Kunjungan hormat delegasi Pakistan itu bersempena dengan penyertaan negara tersebut dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 ke-22 tahun ini.

KPKM memaklumkan delegasi itu turut mengundang kementerian untuk menghadiri Pakistan Culinary Showcase yang akan diadakan esok bersempena dengan MIHAS di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Jumlah perdagangan produk pertanian antara Malaysia dan Pakistan mencatat nilai RM4.40 bilion setakat Disember tahun lepas.

Malaysia mengeksport minyak sawit, makanan ternakan serta produk kopi, koko, teh dan rempah ke Pakistan manakala import dari negara itu terdiri daripada beras, bijirin dan produk berasaskan bijirin, ikan, krustasea dan moluska serta baja.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This